‘USIA HANYA ANGKA’, RAHMAD PUJI KEPIMPINAN AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER MOLEK 5 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh disifatkan sebagai seorang pemimpin yang tidak pernah mengenal erti penat dalam melaksanakan amanah demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan Negeri Melaka.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Ab Rauf sentiasa memanfaatkan setiap masa untuk bekerja dan tidak pernah mensia-siakan peluang dalam usaha memajukan negeri.

Menurutnya, komitmen tinggi ditunjukkan Ab Rauf membuktikan usia bukan penghalang untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Beliau merupakan seorang pemimpin yang tidak pernah penat bekerja demi rakyat Melaka dan telah menghabiskan seluruh kehidupannya untuk orang Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Ayer Molek yang disempurnakan oleh Ab Rauf di Medan Selera R&R Kampung Tambak Paya, di sini, pada Selasa.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan, Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.

Rahmad berkata, kepimpinan Ab Rauf juga berjaya membawa Melaka ke persada kebangsaan dan antarabangsa menerusi pelbagai pencapaian serta penganjuran program bertaraf dunia.

Katanya, antara kejayaan membanggakan ialah penganjuran persidangan antarabangsa yang menghimpunkan seramai 159 menteri dari pelbagai negara sekali gus mengangkat nama Melaka di peringkat global.

“Sektor pendidikan turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak beliau (Ab Rauf) menerajui pentadbiran negeri dengan prestasi peperiksaan dan pelbagai program pendidikan lain terus mencatat peningkatan saban tahun.

“Saya yakin semua kejayaan ini lahir daripada kesungguhan dan kasih sayang beliau terhadap rakyat serta anak-anak Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post KAK SOM TERUSKAN USAHA SELESAI MASALAH RAKYAT