RUMAH UZUR DIMAKAN ANAI-ANAI, TOK RAUF UMUM PERUNTUKAN BAIK PULIH RM25,000 DARIPADA MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER MOLEK 5 Ogos – Wanita warga emas yang tinggal seorang diri di rumah uzur akibat dimakan anai-anai bakal mendiami kediaman lebih selesa apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Rauf Yusoh mengumumkan kelulusan proses baik pulih berjumlah RM25,000.

Berita gembira itu disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri kepada Zubaidah Abu bakar, 66, bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Kampung Kandang, di sini, pada Selasa.

Zubaidah berkata, peruntukan itu diluluskan oleh Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan dia difahamkan kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Kediaman ini adalah rumah pusaka peninggalan keluarga dan saya tinggal seorang diri. Kalau pada luaran memang nampak masih cantik dan elok tetapi hakikatnya kayu, papan dinding serta tingkap sudah banyak yang reput akibat serangan anai-anai.

“Syukur alhamdulillah kepada Ketua Menteri dan MAIM yang tampil berkongsi berita gembira ini, sekurang-kurangnya saya ada tempat berteduh yang selesa, keselamatan juga akan lebih terjamin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, sebelum ini dia pernah menerima bantuan baik pulih daripada Kerajaan Negeri bagi menggantikan kayu pada bahagian bumbung yang terjejas juga akibat serangan anai-anai.

“Namun serangan anai-anai sekarang ini semakin serius, kerana tidak ada orang lain di rumah saya juga risau mengenai keselamatan diri sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

281
Kongsi :
Previous post HASIL MELAKA MENINGKAT RM122.7 JUTA
Next post MELAKA KENAL PASTI 29 SUMBER HASIL BAHARU BERPOTENSI JANA RM157 JUTA