MELAKA KENAL PASTI 29 SUMBER HASIL BAHARU BERPOTENSI JANA RM157 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

TABOH NANING 5 Ogos – Sebanyak 29 cadangan daripada 26 jabatan dan agensi pemungut hasil dikenal pasti berpotensi menjana hasil baharu kepada Negeri Melaka sebanyak RM157 juta bagi tahun 2027.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan berkenaan merupakan antara hasil dapatan Bengkel Pengukuhan Kutipan Hasil Baharu yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti sumber baharu serta memperkukuh kutipan hasil sedia ada.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 14 cadangan dikenal pasti untuk pelaksanaan segera, manakala sembilan cadangan memerlukan pindaan dasar atau peraturan dan enam lagi perlu diperhalusi sebelum dilaksanakan.

“Senarai ini membuktikan bahawa ruang untuk menambah hasil negeri masih luas. Maka, yang diperlukan sekarang ialah keberanian untuk membuat keputusan dan disiplin untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Lab Pemacuan Pertumbuhan Mampan dan Ketahanan Strategik Agensi dan Anak Syarikat Negeri Melaka serta Lab Pengukuhan Kutipan Hasil Baharu Negeri Melaka Tahun 2026, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Ab Rauf berkata, antara sumber hasil baharu yang dikenal pasti termasuk bayaran pengurusan Kawasan Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri melalui Permit Penggunaan Bagi Tujuan Rekreasi Oleh Pihak Swasta serta bayaran fi kemasukan kepada pengunjung, dengan anggaran kutipan RM68,000 setahun.

Selain itu, katanya, cadangan pindaan kenaikan kadar sumbangan saliran berpotensi menyumbang kira-kira RM10 juta setahun yang akan diakaunkan ke Kumpulan Wang Amanah Caj Saliran Negeri Melaka.

“Kita juga menyasarkan kutipan Akaun Belum Terima berkaitan tanah melalui diskaun tunggakan kepada pembayar dengan sasaran kutipan RM15 juta setahun berbanding jumlah keseluruhan Akaun Belum Terima sebanyak RM93 juta.

“Pada masa sama, cadangan membangunkan tanah tambakan laut seluas 54 ekar di Bandar 44, Mukim Klebang dengan nilai premium lebih RM129.37 juta dan jumlah cukai tanah lebih RM467,000 setahun,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri mahu semua cadangan yang dikenal pasti diberikan tindakan susulan secara menyeluruh bagi memastikan potensi hasil berkenaan dapat direalisasikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post RUMAH UZUR DIMAKAN ANAI-ANAI, TOK RAUF UMUM PERUNTUKAN BAIK PULIH RM25,000 DARIPADA MAIM