
WARGA MELAKA HARI INI DIPERKASA KEMAHIRAN AI
AYER KEROH 5 Ogos – Seramai 31 warga kerja dan pengamal media Melaka Hari Ini memperkukuh kemahiran berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi Kursus Pendidikan Media Digital: Teknologi Maklumat dan AI anjuran Malaysian Press Institute (MPI).
Kursus selama dua hari itu dimanfaatkan menerusi Dana Inovasi Media yang disediakan Kementerian Komunikasi sebagai antara usaha transformasi digital syarikat media di negara ini.
Antara pengisian yang disediakan sepanjang kursus itu adalah seperti janaan kandungan multimedia berkualiti tinggi menggunakan AI, termasuk teknik menghasilkan arahan (prompt), penghasilan poster, poster bergerak, video, dan muzik serta penceritaan digital.
Kursus berkenaan telah dikendalikan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif MPI Dr. Ainol Amriz Ismail, bersama Ketua Media Sosial MPI, Ibrahim Darman.
Menurut Dr. Ainol, teknologi terkini menjadi antara kemahiran penting yang perlu dikuasai syarikat media susulan perkembangan teknologi AI yang sedang mengubah landskap pelbagai sektor seluruh dunia.
Bagaimanapun, tegasnya, penggunaan teknologi itu perlu diseimbangkan dengan pertimbangan manusia bagi memastikan kandungan yang dihasilkan kekal tepat, beretika dan dipercayai.
“Pengamal media hari ini perlu mampu menghasilkan kandungan untuk pelbagai platform dengan menggabungkan teks, visual, animasi, audio dan video dalam satu penceritaan yang menarik serta memenuhi kehendak khalayak digital,” katanya.
Terdahulu, kursus itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad.
Menerusi kursus tersebut, para peserta telah dibeberapakan beberapa tugasan antaranya, mengolah berita kepada pelbagai format kandungan digital dengan memanfaatkan AI bagi menghasilkan visual, animasi, muzik, elemen suara dan video pendek.
Sementara itu, Ketua Unit Melaka TV Faris Haikal Zakaria menyifatkan kursus berkenaan amat bermanfaat dalam membantu warga Melaka Hari Ini memperluaskan lagi kemahiran dalam sudut pemberitaan video.
“Kursus ini memberi banyak ilmu baharu kepada kami, khususnya para pengamal media memandangkan zaman teknologi yang bergerak laju ini menuntut kami untuk terus bergerak seiring,” katanya.
Turut senada, Ketua Unit Jurufoto Melaka Hari Ini Iqmal Haqim Rosman yang berterima kasih kepada MPI kerana memberi pendedahan kepada semua peserta kepada ilmu bermanfaat dalam sudut teknologi dan AI.
“Ilmu-ilmu yang ditimba daripada kursus ini sangat membantu kami untuk terus melangkah jauh dan lebih berdaya saing dalam era transformasi digital ini,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

