
INANG-INANG TIGA GENERASI TERUS MEKAR DI KAMPUNG KANDANG
AYER MOLEK 7 Ogos – Melihat ibunya semakin uzur dan tidak lagi mampu meneruskan perusahaan inang-inang yang diusahakan sejak turun-temurun, Siti Aisha Ismail nekad mengambil alih legasi keluarga meskipun pada ketika itu hanya mampu menghasilkannya pada hujung minggu.
Keputusan wanita berusia 47 tahun itu yang lahir daripada rasa sayang terhadap warisan keluarga nyata tidak sia-sia apabila perusahaan diasaskan oleh arwah neneknya kini berkembang sehingga mampu memasarkan inang-inang ke seluruh negara, malah menembusi pasaran Singapura.
Pengusaha Berkat Global Makmur Enterprise itu berkata, perusahaan menghasilkan inang-inang sudah memasuki generasi ketiga dalam keluarganya, bermula daripada arwah nenek, diteruskan ibunya, Fatimah Yusof, 64, sebelum disambung olehnya sejak 15 tahun lalu.
“Pada mulanya saya hanya membantu mak pada hujung minggu kerana masih mempunyai pekerjaan tetap. Apabila mak semakin kurang sihat dan mahu berhenti, saya rasa sayang kalau warisan ini terputus begitu sahaja.
“Jadi saya ambil alih perusahaan ini. Alhamdulillah, permintaan semakin meningkat sehingga saya mengambil beberapa pekerja, manakala suami pula banyak membantu menguruskan perusahaan ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Kampung Pengkalan Renggam, Kandang.
Menurut Siti Aisha, perusahaan itu kini menghasilkan kira-kira 200 kilogram inang-inang, manakala penggunaan beras pulut mencecah sekurang-kurangnya tiga tan setiap bulan.
Katanya, jumlah itu boleh meningkat sehingga lima atau enam tan ketika musim cuti sekolah, perayaan atau apabila menerima tempahan dalam kuantiti yang besar.
“Produk kami dipasarkan ke seluruh Malaysia, malah ada pengedar mengambil produk kami untuk dijenamakan semula sebelum dipasarkan termasuk ke Singapura,” katanya.
Mengimbau permulaan perniagaan, Siti Aisha berkata, beliau dan suaminya pernah menjelajah dari sebuah kedai ke sebuah kedai bagi memperkenalkan produk mereka yang ketika itu hanya mampu mengeluarkan sekitar 200 hingga 300 paket seminggu.
“Alhamdulillah, sekarang orang sudah mengenali produk kami dan permintaan juga semakin bertambah,” katanya.
Menurutnya, keunikan inang-inang bukan sahaja terletak pada rasanya, malah proses pembuatannya yang masih mengekalkan kaedah tradisional dan mengambil masa antara lima hingga tujuh hari sebelum sedia dipasarkan.
“Makanan tradisional ini hanya menggunakan bahan asas seperti beras pulut, garam dan pewarna makanan yang diluluskan sebelum melalui proses rendaman, pengukusan serta penjemuran.
“Cabaran paling besar ialah faktor cuaca. Kalau hujan atau proses pengeringan tidak sempurna, inang-inang boleh berkulat dan keseluruhan hasil terpaksa dibuang.
“Sebab itu kami masih bergantung kepada cuaca panas walaupun kini mempunyai kemudahan ‘oven’ kerana hasil jemuran di bawah cahaya matahari memberikan kualiti lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Fatimah berkata, perusahaan inang-inang itu berasal dari Alai sebelum dibawa ke Kampung Kandang dan diwariskan daripada satu generasi ke satu generasi.
“Harapan saya supaya inang-inang terus berkembang dan dikenali lebih ramai orang. Alhamdulillah sekarang produk ini sudah sampai ke Singapura dan kami juga sedang dalam proses mendapatkan pensijilan halal bagi meluaskan lagi pasaran.
“Saya mahu warisan ini terus hidup supaya generasi akan datang masih dapat menikmati dan mengenali identiti makanan tradisional negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


