
JELAJAH KETUA MENTERI SAYANG RAKYAT DUN KLEBANG BAWA MANFAAT PELBAGAI LAPISAN
KLEBANG 22 September – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang memanfaatkan masyarakat setempat menerusi pelbagai bentuk sumbangan disalurkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, program berkenaan membuktikan pendekatan turun padang dilaksanakan Kerajaan Negeri memberi perhatian secara langsung terhadap keperluan rakyat di kawasan berkenaan.
Katanya, antara manfaat yang disalurkan termasuk sumbangan menerusi inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRA) Pendidikan kepada dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai dan SMK Klebang Besar.
“Kerajaan Negeri menyumbangkan RM49,100 kepada dua sekolah ini menerusi MeSRA Pendidikan yang mana daripada jumlah itu RM17,150 disalurkan kepada SMK Klebang Besar.
“Selain itu kita turut menyantuni bekas pesara tentera dan polis apabila sejumlah sumbangan disalurkan selain itu kit makanan serta wang tunai turut diberikan kepada asnaf yang terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Klebang, di Balai Raya Bukit Rambai, semalam.
Hadir sama, Pegawai Daerah Melaka Tengah, Mohd Shaiful Hizam Johan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff.
Ban Hong berkata, turut disantuni menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat adalah Mahad Tahfiz Kasyful-Ulum Melaka apabila sejumlah RM25,000 disumbangkan bagi melaksanakan kerja pembaikan kemudahan yang usang.
“Pihak pengurusan tahfiz sebelum ini telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sumbangan bagi kerja-kerja pembaikan kemudahan tandas bagi keselesaan pelajar.
“Untuk itu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menyalurkan RM20,000 manakala selaku Adun saya turut menyumbang RM5,000 bagi membantu membaik pulih tandas,” katanya.
Jelasnya, kira-kira 2,000 penduduk setempat bersama-sama memeriahkan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Klebang manakala sebanyak 1,500
paket beras turut diedarkan kepada masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

