
RM7 JUTA DISALUR UNTUK LAKSANA PROJEK KECIL DUN RIM
RIM 22 September – Hampir RM7 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim dalam tempoh lima tahun, meliputi kemudahan asas yang dekat dengan kehidupan harian penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, peruntukan itu digunakan mengikut keperluan penduduk termasuk menaik taraf kemudahan awam di kawasan kampung.
“Dalam masa lima tahun ini, pelbagai projek kecil dilaksanakan seperti kemudahan jalan kampung, saliran, longkang, bina rumah baharu, baik pulih masjid, baik pulih padang futsal dan takraw, semuanya kita sudah betulkan.
“Selain itu, kemudahan balai raya turut diberi perhatian dengan kerja pembaikan dilaksanakan di hampir keseluruhan kawasan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Projek Bina Baru Rumah, Sumbangan Baik Pulih Rumah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Penyampaian Tunai serta Kit Makanan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rim yang turut dihadiri Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom di Kampung Terentang di sini, semalam.
Menurut Khaidhirah, usaha menaik taraf kemudahan asas akan terus diberi perhatian berdasarkan keperluan penduduk bagi memastikan setiap kampung di DUN Rim mendapat kemudahan yang lebih selesa dan berfungsi.
“Paling penting adalah masalah rakyat perlu diutamakan dan diselesaikan. Kalau mereka hubungi kita dan beritahu mengenai sesuatu kes, insya-Allah kita akan cuba selesaikan. Penyampaian kerja, permintaan dan permohonan rakyat kita kena sampaikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


