REZEKI ‘NEWBIE’, IKAN KURAU BAWA TUAH BUAT MOHD RIDZUAN DI TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TANJUNG BIDARA 22 September – Rezeki tidak salah alamat. Itulah yang berlaku kepada Mohd Ridzuan Jaapar, 40, apabila ikan kurau seberat 0.865 kilogram yang didaratkannya muncul tangkapan terberat sekali gus mengangkatnya sebagai juara Tanjung Bidara Surfcasting Challenge 2026.

Lebih manis, kemenangan itu diraih pada penyertaan pertamanya dalam pertandingan memancing, sekali gus menjadi kenangan istimewa buat juruteknik di sebuah syarikat minyak dan gas berkenaan.

Mohd Ridzuan berkata, dia menyertai pertandingan itu selepas diajak rakan dan tidak menyangka umpan udang jala yang digunakan berjaya menarik ikan kurau, sebelum tangkapan berkenaan dinobatkan sebagai yang terberat.

“Saya datang dengan kawan, niat hanya untuk memeriahkan pertandingan memancing ini sahaja dan saya menggunakan joran 12 kaki.

“Tak sangka udang jala yang saya labuhkan disambar ikan kurau kerana sebelum ini saya tidak pernah mendapat ikan ini.

“Ini pun baru pertama kali saya sertai pertandingan memancing, jadi memang kemenangan ini satu kejutan besar buat saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas pertandingan yang berlangsung di Kampung Balik Batu, di sini, Sabtu lalu.

Mohd Ridzuan berkata, kemenangan itu lebih bermakna apabila hadiah wang tunai RM1,000 yang diterimanya boleh dimanfaatkan untuk keluarga dan anak-anak.

“Hadiah ini untuk keluarga dan anak-anak. Alhamdulillah, dapat juga bawa balik sesuatu untuk mereka,” katanya.

Terdahulu, hadiah kemenangan telah disampaikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Tempat kedua menjadi milik Johan Abdullah dengan tangkapan ikan belukang seberat 0.605 kilogram, manakala tempat ketiga dimenangi Mohd Redzuan Abd Salam dengan ikan kurau seberat 0.570 kilogram.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM800 dan RM500.

Tanjung Bidara Surfcasting Challenge 2026 yang menawarkan penyertaan secara percuma itu menghimpunkan 1,140 peserta dari dalam dan luar Melaka, sekali gus memeriahkan aktiviti rekreasi serta pelancongan di kawasan Pantai Tanjung Bidara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

428
Kongsi :
Previous post MAIM HULUR SUMBANGAN BAIK PULIH KEMUDAHAN MAAHAD TAHFIZ KASYFUL-ULUM
Next post RM7 JUTA DISALUR UNTUK LAKSANA PROJEK KECIL DUN RIM