MASALAH RAKYAT TAK TERLEPAS, WAKIL RAKYAT MELAKA JADI MATA DAN TELINGA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 22 September – Pendekatan turun padang membolehkan Kerajaan Negeri menjejaki pelbagai permasalahan rakyat yang sebelum ini tidak sampai ke pengetahuan kepimpinan negeri, sekali gus memastikan tindakan penyelesaian dilaksanakan secara lebih dekat dan bersasar.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penglibatan wakil rakyat di setiap kawasan turut membantu Kerajaan Negeri mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai keperluan masyarakat, termasuk golongan yang memerlukan perhatian khusus.

“Sepanjang tempoh saya menjadi Ketua Menteri, kita telah dapat menjejaki pelbagai masalah yang sebelum ini tidak pernah sampai ke meja seorang Ketua Menteri.

“Menerusi siri turun padang, kita telah memberikan pelbagai bantuan termasuklah membaik pulih dan bina baharu rumah-rumah rakyat memerlukan selain kita juga memberikan bantuan kepada mereka yang terlantar serta lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media khas sempena pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Ab Rauf, pendekatan berkenaan turut membolehkan Kerajaan Negeri mengenal pasti keperluan peniaga dan usahawan di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian, selain membantu meningkatkan peluang ekonomi golongan berkenaan.

Katanya, wakil rakyat turut memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dengan pentadbiran negeri bagi memastikan isu setempat tidak terlepas daripada perhatian Kerajaan Negeri.

“Saya menjadikan setiap wakil rakyat di Melaka sebagai mata, kepala dan telinga pentadbiran Kerajaan Negeri supaya kita dapat membawa pelbagai isu dan masalah rakyat untuk diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan turun padang turut memberi peluang kepada rakyat merasai sendiri kehadiran kepimpinan negeri dalam menangani permasalahan mereka, khususnya apabila tindakan dapat diberikan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.

“Saya yakin rakyat amat menghargai apa yang telah kita lakukan kerana ia benar-benar menunjukkan pentadbiran ini berpaksikan naungan Melaka Sayang Rakyat,” katanya.,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post MANGSA KEBAKARAN DI KAMPUNG GANGSA BAKAL HUNI RUMAH BAHARU
Next post MAIM HULUR SUMBANGAN BAIK PULIH KEMUDAHAN MAAHAD TAHFIZ KASYFUL-ULUM