
PBT MELAKA ‘MELEDAK’, RAIH PELBAGAI PENGIKTIRAFAN
PAYA RUMPUT 6 Ogos – Empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka terus ‘meledak’ dengan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa sepanjang tahun ini, sekali gus mengukuhkan keupayaan negeri dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian berkenaan tidak datang bergolek, sebaliknya hasil komitmen dan kerja keras warga PBT yang sentiasa memastikan perancangan kerajaan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Menurut beliau, memasuki separuh kedua 2026, Melaka terus meraih pelbagai pencapaian termasuk di peringkat dunia, hasil kerjasama semua pihak khususnya PBT yang menjadi antara jentera penting dalam memastikan pembangunan negeri berjalan lancar.
“Diam tak diam, kita kini sudah pun memasuki separuh kedua tahun 2026. Alhamdulillah, satu demi satu pencapaian kita ledakkan, satu demi satu rekod kita pecahkan sehingga nama Melaka bukan sahaja terus gah di persada tanah air, malah berjaya menempa nama di pentas dunia.
“Di sebalik setiap pencapaian itu, sebahagian besarnya adalah daripada keringat besar warga PBT yang bekerja siang dan malam, berhujan dan berpanas, memastikan setiap perancangan dilaksanakan, setiap kemudahan berfungsi dan setiap keperluan rakyat diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2026 di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Timbalannya Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari.
Menurut Ketua Menteri, antara pencapaian membanggakan adalah menerusi pengiktirafan ASEAN Clean Tourist City Standard 2026-2028 serta Anugerah Pengiktirafan Diamond menerusi Low Carbon Cities 2030 Challenge oleh MBMB.
Selain itu, ujar beliau, MPHTJ pula menerima ASEAN 5th Certificate of Recognition Clean for Small Cities dan ASEAN Public Toilet Standard Award 2025-2027.
“MPAG pula memperoleh Pengiktirafan Pematuhan Sistem Perakaunan Standard daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
“Manakala MPJ disenaraikan dalam kelompok 10 Terbaik Tahap Cemerlang Sistem Pengurusan Amalan Nilai 2.0 Tahun 2025, selain berjaya menyiapkan Projek Reformasi Karenah Birokrasi bagi meningkatkan keberkesanan pembangunan tanah rizab kemudahan awam,” katanya.
Justeru, Ab Rauf merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh 2,188 warga PBT Melaka yang terus komited menggalas amanah, menyantuni keperluan rakyat serta memastikan nadi pembangunan negeri terus bergerak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


