
2,188 WARGA PBT TUNJANG KEKUATAN MELAKA
PAYA RUMPUT 6 Ogos – Seramai 2,188 warga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Melaka menjadi tunjang dan sumber kekuatan utama dalam memastikan setiap agenda, program serta permasalahan rakyat dapat ditangani dengan berkesan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, sumbangan warga PBT bukan sekadar dalam bentuk hasil atau kewangan, malah turut melibatkan tenaga, masa dan komitmen sepenuh hati demi memastikan pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan lancar.
Beliau berkata, empat PBT yang beroperasi di tiga daerah di Melaka iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) memainkan peranan penting sebagai jentera akar umbi yang memastikan setiap dasar dan perancangan kerajaan dapat diterjemahkan kepada perkhidmatan yang dirasai rakyat.
“Saya selaku Exco ingin merakamkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada seluruh 2,188 warga PBT yang telah memberikan segala-galanya dengan sepenuh hati demi Kerajaan Negeri Melaka.
“Saudara dan saudari bukan sahaja menyumbang wang ringgit, tetapi tenaga, masa dan kepakaran. Inilah kekuatan kita dan inilah ‘anchor’ kepada setiap program serta usaha menyelesaikan permasalahan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Menurut Rais, komitmen warga PBT turut diterjemahkan menerusi pelbagai kejayaan dan pengiktirafan yang diraih di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.
Beliau berkata, MBMB di bawah kepimpinan Datuk Bandar Datuk Shadan Othman misalnya, berjaya meraih pelbagai pengiktirafan termasuk ASEAN Clean Tourist City, manakala MPHTJ di bawah kepimpinan Datuk Sapiah Haron turut mencatat pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Begitu juga MPAG di bawah kepimpinan Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim yang meraih pelbagai anugerah kebangsaan termasuk menerusi kempen berkaitan kesihatan.
“Manakala MPJ pula di bawah kepimpinan Yang Dipertuanya, Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari turut mendapat pengiktirafan sebagai antara majikan terbaik di Malaysia,” katanya.
Rais berkata, setiap kejayaan yang dicapai PBT perlu dilihat sebagai pencapaian kolektif yang lahir daripada kesungguhan seluruh warga kerja, daripada barisan pengurusan tertinggi sehinggalah petugas di lapangan.
“Inilah waris-waris kita di Melaka yang telah menyumbang dalam pentadbiran Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri. Saya berharap semangat dan komitmen ini akan terus dipertahankan,” ujarnya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


