
HLN 2026: PAVILION MBMB SERLAH IDENTITI PERANAKAN-MELAYU MELAKA
PAYA RUMPUT 6 Ogos – Identiti unik masyarakat Peranakan dan Melayu Melaka diterjemahkan menerusi dekorasi Pavilion Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sempena Hari Landskap Negara (HLN) 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di perkarangan Stadium Hang Jebat.
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, hiasan yang diketengahkan itu menggunakan konsep ‘Revitalizing of Peranakan Melaka’ bagi menghidupkan semula elemen tradisional yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan budaya masyarakat di negeri ini.
Menurutnya, konsep tersebut mengetengahkan kepelbagaian serta gabungan elemen tradisional masyarakat Peranakan dan Melayu Melaka yang dapat dilihat menerusi adat resam, pakaian, masakan serta upacara perkahwinan.
“Bagi Pavilion MBMB, konsep yang cuba diketengahkan memperlihatkan ciri-ciri etnokultural masyarakat Peranakan dan Melayu dalam sejarah serta budaya di Melaka.
“Konsep ‘Revitalizing of Peranakan Melaka’ dipilih untuk menonjolkan kepelbagaian dan semarak gabungan tradisional yang ketara dalam adat resam, pakaian, masakan dan upacara perkahwinan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Shadan berkata, hiasan Pavilion MBMB turut memaparkan ciri rumah Melayu Melaka yang digabungkan dengan elemen Feng Shui, khususnya unsur air sebagai simbol kemakmuran dan kemewahan.
“Pavilion ini memaparkan rupa dan ciri rumah Melayu Melaka dengan elemen Feng Shui iaitu air sebagai simbol kemakmuran dan kemewahan.
“Gabungan elemen ini menjadikan hiasan Pavilion MBMB bukan sekadar menarik dari segi visual, tetapi turut mempunyai nilai sejarah dan budaya yang mencerminkan keunikan Melaka,” katanya.
Menurutnya, pendekatan tersebut membolehkan pengunjung HLN 2026 bukan sahaja menikmati keindahan dekorasi landskap, malah mengenali dengan lebih dekat identiti dan warisan masyarakat Peranakan serta Melayu Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


