MAIM LANCARKAN PROSES PEMBELIAN TANAH TAPAK PERKUBURAN ISLAM KAMPUNG MUSAI

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PENGKALAN BATU 6 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memainkan peranan amat besar dalam membantu menyelesaikan proses pembelian tanah Perkuburan Kampung Musai yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Ketua Unit Hartanah MAIM Muhammad Effandi Othman Kamal Shah berkata, perkara itu melibatkan cadangan pembelian Tanah Perkuburan Islam Kampung Musai di atas sebahagian lot 239 Mukim Banadr Bukit Baru Seksyen 4, Daerah Melaka Tengah.

Katanya, proses itu berjalan lancar apabila kedua-dua belah pihak iaitu pengurusan Masjid Al-Ibadah, Bukit Piatu dan pemilik asal iaitu individu berketurunan Cina memberikan kerjasama yang amat baik.

“Kutipan Tabung Saham Wakaf MAIM Masjid Al-Ibadah Bukit Piatu sudah dimulakan awal 2025 dan berdasarkan perkembangan yang amat positif sekarang kita yakin pihak masjid mampu mengumpul dana RM400,000 bagi urusan pembelian tanah ini.

“Malah pemilik asal juga setuju menjual tanah bawah harga penilaian itu RM40 untuk satu kaki persegi berbanding harga semasa iaitu RM80 satu kaki persegi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membentangkan status Tanah Perkuburan Islam Kampung Musai sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, pada Selasa.

Muhammad Effandi berkata, setakat ini pihak pengurusan masjid memerlukan lebih RM180,000 sahaja lagi bagi mencukupkan jumlah RM400,000 diperlukan bagi menyelesaikan proses itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post HLN 2026: PAVILION MBMB SERLAH IDENTITI PERANAKAN-MELAYU MELAKA