ZOO MELAKA PERKAYA TARIKAN, TAMBAH KOLEKSI KANCIL

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Zoo Melaka dijangka menambah koleksi haiwan dengan membawa masuk spesies kancil sebagai sebahagian usaha memperkayakan tarikan kepada pengunjung dalam masa terdekat.

Pengurus Zoo Melaka Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, usaha itu dilihat dapat memperkukuh peranannya sebagai pusat konservasi dan pendidikan hidupan liar.

Katanya, Zoo Melaka sedang membuat persiapan awal bagi menerima kancil selepas memperoleh makluman bahawa proses penempata itu bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kita di Zoo Melaka telah bersedia lebih awal termasuk menyediakan keperluan yang bersesuaian bagi memastikan proses penempatan haiwan itu dapat dilaksanakan dengan lancar apabila menerima kelulusan.

“Zoo Melaka bersedia untuk menerima haiwan kancil memandangkan Negeri Melaka memang terkenal sejarahnya dengan haiwan ini (kancil).

“Kancil merupakan antara haiwan yang sinonim dengan warisan, cerita rakyat serta biodiversiti negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada sambutan Hari Harimau Sedunia di Zoo Melaka baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr. Zahidah Izzati berkata, penambahan spesies kancil itu dijangka memberi nilai tambah kepada pengalaman pengunjung.

Katanya, kemasukan kancil juga melengkapkan usaha Zoo Melaka untuk terus perbanyakkan lagi koleksi hidupan liar tempatan sekali gus memberi peluang kepada pengunjung, khususnya generasi muda, mengenali spesies yang semakin sukar ditemui di habitat asal.

“Selain menjadi tarikan baharu, kita mahu pengunjung memahami kepentingan memelihara hidupan liar tempatan.

“Zoo Melaka bukan sekadar tempat rekreasi, tetapi juga pusat pendidikan dan konservasi yang memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai biodiversiti negara.

“Zoo Melaka akan terus menilai keperluan menambah spesies haiwan lain dari semasa ke semasa selaras dengan pelan pembangunan semula zoo itu, sekali gus memastikan ia kekal relevan sebagai antara destinasi pelancongan dan pusat konservasi utama di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

135
Kongsi :
Previous post SUK WANITA PERTAMA MELAKA, SALHAH TEKAD PERKASA GAGASAN ‘MESRA’
Next post EKSPRESI JALUR GEMILANG SEMARAK BULAN KEBANGSAAN DI MELAKA