EKSPRESI JALUR GEMILANG SEMARAK BULAN KEBANGSAAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 11 Ogos – Program Ekspresi Jalur Gemilang menjadi antara inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) di Melaka.

Program anjuran Kementerian Komunikasi menerusi JAPEN bersama syarikat minyak dan gas itu dilaksanakan secara serentak di 15 stesen minyak terpilih di seluruh negara.

Di Melaka, program berkenaan dilaksanakan di sebuah stesen minyak di Ayer Keroh 3 dengan pengisian utama berupa edaran magnet Jalur Gemilang secara percuma kepada 200 kenderaan terawal.

Pengarah JAPEN Melaka, Mazli Hamdan berkata, program seumpama itu berupaya menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat menerusi pengedaran Jalur Gemilang, selain memupuk rasa kecintaan terhadap negara sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Pemberian dan edaran magnet Jalur Gemilang secara percuma kepada 200 kenderaan terawal di lokasi stesen PETRONAS terpilih seluruh negara ini bertujuan menggalakkan pemasangan bendera pada setiap kenderaan sebagai simbolik menyambut Bulan Kebangsaan.

“Program ini juga diharapkan dapat menjadi platform menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus merapatkan hubungan bersama masyarakat setempat secara langsung di lokasi stesen minyak, khususnya di Melaka,” katanya selepas melancarkan program berkenaan pada Ahad.

Program tersebut turut mencerminkan komitmen kerjasama antara sektor awam dan korporat dalam menyokong agenda kenegaraan, di samping memperluas penyampaian mesej patriotisme dan semangat cintakan negara kepada masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

383
Kongsi :
Previous post SUK WANITA PERTAMA MELAKA, SALHAH TEKAD PERKASA GAGASAN ‘MESRA’