
SUK WANITA PERTAMA MELAKA, SALHAH TEKAD PERKASA GAGASAN ‘MESRA’
AYER KEROH 11 Ogos – Memperkukuh kerjasama antara jentera pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta memperkasa gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) menjadi antara fokus Datuk Wira Salhah Salleh selepas secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, hari ini.
Salhah berkata, kerjasama erat antara semua jabatan dan agensi penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Melaka sedang rancak melaksanakan gagasan MeSRa dan saya berharap semua jabatan serta agensi terlibat dapat bersama-sama menjayakan agenda yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri ini.
“Pengalaman luas dalam pentadbiran negeri sebelum ini akan menjadi asas untuk saya meneruskan kerjasama baik bersama agensi negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan tanggungjawab baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Dalam pada itu, Salhah menzahirkan kesyukuran atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri serta komited melaksanakan amanah berkenaan dengan sebaik mungkin.
“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri atas kepercayaan yang diberikan, selain Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) atas peluang yang diberikan kepada saya untuk memegang jawatan ini,” katanya.
Salhah secara rasmi memulakan tugas sebagai SUK Melaka, hari ini, menggantikan Datuk Wira Azhar Arshad yang bersara wajib selepas menggalas amanah itu sejak 24 Jun 2024.
Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dari Januari 2018 hingga Februari 2022 sebelum dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri mulai 1 Mac 2022.
Pelantikan itu turut mencatat sejarah apabila Salhah menjadi wanita pertama di Melaka dan kedua dalam negara menerajui jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

