HLN 2026: MELAKA PACU PEMBANGUNAN TANPA KORBANKAN KHAZANAH ALAM

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PAYA RUMPUT 7 Ogos – Melaka terus memperkukuh agenda pembangunan negeri dengan memastikan kemajuan dan kelestarian alam bergerak seiring menerusi usaha memelihara khazanah hijau serta identiti landskap negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka tidak mahu pembangunan fizikal dilaksanakan dengan mengorbankan kehijauan, sebaliknya kedua-duanya perlu bergerak dalam satu acuan pembangunan yang pintar, seimbang dan berdaya huni.

“Melaka sedang mengorak langkah membina sebuah negeri yang maju tanpa mengorbankan khazanah alam. Kita tidak mahu dipaksa memilih antara konkrit dengan kehijauan.

“Sebaliknya, kita mahu kedua-duanya bergerak seiring dalam satu acuan pembangunan yang pintar dan seimbang di mana warisan dipelihara, kemajuan dipacu dan kesejahteraan rakyat diutamakan.

“Melaka mungkin antara kota tertua di negara ini, tetapi semangat orang-orang Melaka tidak pernah tua. Warisan bukan penghalang kepada kemajuan, sebaliknya menjadi asas untuk membina masa hadapan yang lebih terancang, beridentiti dan berdaya huni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib serta Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Datuk TPr. Rozihan Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri telah meletakkan asas kukuh dalam pembangunan landskap menerusi pelaksanaan pelbagai dasar dan garis panduan bagi memastikan kelestarian alam terus menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan.

Menurutnya, ia dibuktikan apabila Melaka menjadi antara negeri terawal menguatkuasakan Perintah Pemeliharaan Pokok di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172], khusus bagi melindungi pokok-pokok bernilai tinggi yang menjadi aset landskap negeri.

“Usaha itu turut diperkukuh menerusi pengenalan Garis Panduan Landskap Negeri Melaka pada 2022 yang menjadi rujukan kepada agensi pelaksana, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemaju serta pihak berkepentingan.

“Garis panduan ini bertujuan memastikan pembangunan landskap di negeri ini dilaksanakan secara lebih terancang, berkualiti, beridentiti dan mampan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post HLN 2026: MELAKA BANGUNKAN 6 PROJEK LANDSKAP DALAM DUA TAHUN
Next post HLN 2026: MELAKA ‘DIGITALKAN’ 70,753 POKOK