
HLN 2026: MELAKA ‘DIGITALKAN’ 70,753 POKOK
PAYA RUMPUT 7 Ogos – Sebanyak 70,753 data inventori pokok direkodkan menerusi sistem MyTrees@Melaka yang telah dibangunkan dibangunkan pada 2017, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, inovasi negeri itu mentransformasikan pengurusan pokok dengan membolehkan setiap pokok yang ditanam direkodkan, dipantau dan dipelihara secara lebih teratur.
Jelas beliau, ia sekali gus mencerminkan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh pengurusan landskap berasaskan data secara lebih cekap, sistematik dan bersepadu.
“Sehingga tahun ini, sebanyak 70,753 data inventori pokok telah direkodkan menerusi penglibatan keempat-empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama Jabatan Perhutanan Negeri Melaka.
“Pembangunan sistem MyTrees@Melaka ini bukan sahaja memperkukuh pendigitalan landskap, malah menjadi transformasi pengurusan pokok secara lebih cekap, sistematik dan bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib serta Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Datuk TPr. Rozihan Abdul Ghani.
Menurut Ab Rauf, selain pendigitalan, usaha penghijauan negeri turut dipergiat secara berterusan apabila sebanyak 10,588 batang pokok berjaya ditanam di seluruh negeri sehingga Jun tahun ini.
“Bagi Kerajaan Negeri Melaka, inilah wajah pengurusan landskap masa hadapan; setiap pokok ditanam, direkodkan, dipantau dan dipelihara berasaskan data agar pengurusannya lebih cekap, selamat dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut merealisasikan aspirasi Melaka Geopark sebagai usaha menghubungkan warisan geologi, biodiversiti, budaya dan identiti tempatan yang mencerminkan keunikan negeri.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemeliharaan khazanah landskap, malah menjadikannya sebagai wadah pendidikan, konservasi serta tarikan pelancongan berasaskan alam dan komuniti.
“Melalui usaha ini, khazanah landskap Melaka bukan sahaja dipelihara keindahannya, malah dimanfaatkan sebagai wadah pendidikan, konservasi serta tarikan pelancongan berasaskan alam dan komuniti yang mampu menjana nilai ekonomi secara mampan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


