PAPAZOLA ‘HALAL DI HATIKU’ GAMATKAN MIHF’26

Masa Membaca:57 Saat

Oleh: Muhammad Rasul Azli Samad

AYER KEROH 8 Ogos – Lebih 50 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun mengambil bahagian dalam Pertandingan Mewarna Papazola yang diadakan sempena Melaka International Halal Festival (MIHF’26) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Pertandingan yang berlangsung selama satu jam itu menyaksikan si cilik menunjukkan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan karya mewarna bertemakan ‘Halal Di Hatiku’.

Sepanjang pertandingan berlangsung, suasana di lokasi turut meriah dengan kehadiran ibu bapa yang hadir memberikan sokongan dan dorongan kepada anak-anak masing-masing.

Selain mencungkil bakat dan kreativiti kanak-kanak dalam bidang seni, pertandingan itu turut menjadi platform memperkenalkan nilai dan konsep halal kepada generasi muda melalui pendekatan yang santai dan menyeronokkan.

IMG
AKSI si cilik mewarna. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Penyertaan lebih 50 kanak-kanak dalam pertandingan tersebut turut membuktikan sambutan menggalakkan seisi keluarga terhadap aktiviti yang dianjurkan sepanjang MIHF’26.

MIHF’26 berlangsung selama tiga hari berakhir esok dengan pelbagai pengisian menarik disediakan termasuklah pameran dan jualan produk halal, ceramah, padanan perniagaan dan bermacam-macam lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1839
Kongsi :
Previous post MIHF’26 BUKA LALUAN USAHAWAN TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA