MIHF’26 BUKA LALUAN USAHAWAN TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Melaka International Halal Festival 2026 (MIHF’26) menjadi platform strategik kepada usahawan tempatan dan antarabangsa untuk membina jaringan perniagaan, membuka pasaran baharu serta meneroka peluang kerjasama dalam industri halal.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, penganjuran kali ketiga festival berkenaan bukan sahaja membuka ruang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk masing-masing, malah turut menjadi medan jalinan hubungan perniagaan bersama syarikat lain dari dalam dan luar negara.

Katanya, jaringan perniagaan yang dibentuk menerusi festival itu mampu membuka laluan kepada produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

“Ini adalah tahun ketiga Melaka menganjurkan festival seperti ini yang memberi peluang kepada usahawan dan orang ramai meninjau produk-produk halal, selain membuka ruang kepada usahawan memasarkan produk mereka ke pasaran Malaysia dan antarabangsa.

“Pada masa sama, festival ini juga mewujudkan hubungan jaringan antara usahawan dalam dan luar negara kerana ini adalah peluang mereka untuk meluaskan pasaran dan membuat urusan perniagaan bersama usahawan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan MIHF’26 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menurut Rahmad, skop industri halal kini tidak lagi terhad kepada sektor makanan dan minuman semata-mata, bahkan merangkumi pelbagai bidang bernilai tinggi yang mempunyai potensi besar untuk diterokai.

Katanya, antara sektor berkenaan termasuk farmaseutikal, ubat-ubatan, kosmetik, penjagaan diri, pelancongan mesra Muslim, kewangan Islam, teknologi digital serta inovasi yang berteraskan prinsip patuh syariah.

“Skop yang lebih luas ini membuka ruang lebih besar kepada usahawan tempatan untuk mempelbagaikan produk dan perkhidmatan serta meningkatkan daya saing dalam pasaran halal global,” katanya.

MIHF’26 berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Ogos ini di MITC dengan menghimpunkan pelbagai penggiat industri halal dari dalam dan luar negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

546
Kongsi :
Previous post ‘BERMODALKAN’ KEMAHIRAN, ANAS BINA EMPAYAR PENYAMAN UDARA
Next post PAPAZOLA ‘HALAL DI HATIKU’ GAMATKAN MIHF’26