‘RUNDING SECARA BIJAKSANA, BUKAN MELALUI MEDIA SOSIAL’

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PAYA RUMPUT 8 Ogos – Semua parti politik yang mahu bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disaran berunding secara bersemuka dan bijaksana dan bukannya menggunakan platform media sosial.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan berunding melalui media sosial hanya boleh mencetuskan persepsi kurang sihat.

“Banyak parti dan pemimpin yang menyuarakan pandangan, terutama mengenai 21 kerusi yang kita pertahankan.

“Pastinya dalam 21 kerusi kita pertahankan, kita memberikan satu kerangka secara kasar bahawa Barisan Nasional (BN) akan mempertahankan kerusi yang pernah kita menangi sewaktu PRN yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, setakat ini belum ada sebarang rundingan secara rasmi diadakan, namun konsep BN+ yang diterapkan di Melaka membuka ruang kepada mana-mana parti untuk hadir dan berbincang mengenai kerjasama yang boleh dibentuk.

Katanya, tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini kerana setiap cadangan perlu dinilai dan dikaji terlebih dahulu berdasarkan kepentingan serta manfaat kepada semua pihak.

“Saya buka untuk rundingan dan kita tidak memberikan kata putus. Pastinya kita akan menilai, mengkaji dan memberikan pandangan sekiranya ia memberikan pulangan yang baik kepada kedua-dua parti politik,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata keputusan pilihan raya Parlimen tidak boleh dijadikan ukuran tunggal dalam menentukan pembahagian kerusi pada PRN Melaka akan datang.

Katanya, dinamika politik di Melaka perlu dilihat berdasarkan perkembangan dan keadaan semasa di setiap kawasan, termasuk pelbagai usaha dilakukan Kerajaan serta wakil rakyat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita telah berusaha untuk meyakinkan rakyat dan memberikan khidmat yang terbaik. Pastinya senario itu tidak boleh diukur daripada keputusan Parlimen dalam pengagihan kerusi yang akan berlaku dalam PRN Melaka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua parti politik yang mempunyai persefahaman atau berminat untuk bekerjasama supaya membuka ruang rundingan secara baik bagi mencari ‘rakan kongsi’ terbaik demi kepentingan Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

569
Kongsi :
Previous post PAPAZOLA ‘HALAL DI HATIKU’ GAMATKAN MIHF’26
Next post WRUR: LEBIH 60 PERATUS ADUAN RAKYAT TANGGA BATU SELESAI