WRUR: LEBIH 60 PERATUS ADUAN RAKYAT TANGGA BATU SELESAI

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PAYA RUMPUT 9 Ogos – Sebanyak lebih 60 peratus atau bersamaan 343 aduan rakyat yang diterima menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Parlimen Tangga Batu berjaya diselesaikan, manakala baki 40 peratus akan melalui tindakan susulan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan pendekatan turun padang menerusi program berkenaan memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk mendengar dan menangani isu dihadapi rakyat secara lebih dekat.

“Program WRUR bagi Parlimen Tangga Batu secara rasminya telah selesai dalam jelajah program merakyatkan pentadbiran Kerajaan Negeri yang telah kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program WRUR Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pencapaian itu adalah hasil kerjasama semua pimpinan di Parlimen Tangga Batu yang turun mendengar setiap aduan, cadangan dan pandangan rakyat sepanjang pelaksanaan program berkenaan.

“Pendekatan ini membolehkan Kerajaan Negeri mengenal pasti isu yang memerlukan tindakan serta memastikan aduan yang masih belum diselesaikan terus diberikan perhatian.

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua kepimpinan di dalam Tangga Batu yang memberi kerjasama dan mendengar setiap aduan, setiap cadangan dan setiap pandangan daripada rakyat yang berada di Tangga Batu.

“Dari Pantai Kundor sampai ke Klebang, Paya Rumput dan Sungai Udang, kita melihat bahawa kita telah berjaya meletakkan kepimpinan ini sebagai satu kepimpinan yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

863
Kongsi :
Previous post ‘RUNDING SECARA BIJAKSANA, BUKAN MELALUI MEDIA SOSIAL’