‘JADI RAKYAT DAHULU, BARU FAHAM HASRAT RAKYAT’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PAYA RUMPUT 9 Ogos – Seseorang wakil rakyat perlu terlebih dahulu memahami denyut nadi dan hasrat rakyat demi melaksanakan amanah dengan sebaiknya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, menjadi wakil rakyat bukan sekadar memegang jawatan atau menyandang kedudukan, sebaliknya menuntut kesediaan untuk turun padang, mendengar suara masyarakat serta memahami sendiri keperluan mereka tanpa mengira latar belakang.

“Kedudukan sebagai wakil rakyat bukan suatu keistimewaan, sebaliknya amanah yang perlu ditunaikan kepada semua.

“Sebab itu, saya selalu pesan kepada semua wakil rakyat, kalau mahu jadi wakil rakyat, kita perlu jadi rakyat terlebih dahulu, fahami hasrat rakyat, keperluan rakyat dan barulah boleh berkhidmat kembali untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, prinsip mendekati dan memahami rakyat menjadi asas kepada pendekatan pentadbiran negeri yang terus turun padang, bergerak dari kampung ke kampung, menyusuri taman perumahan dan mendekati setiap lapisan masyarakat.

“Atas prinsip itulah, saya bersama sahabat-sahabat kepimpinan dan seluruh barisan pentadbiran negeri bergerak dan mendekati setiap lapisan masyarakat bagi menyelesaikan sebaik mungkin keperluan rakyat,” katanya.

Justeru, ujar Ketua Menteri, WRUR menjadi antara platform penting dalam memastikan khidmat dan bantuan sampai kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama, pegangan politik atau latar belakang.

Katanya, pendekatan itu membuktikan Kerajaan Negeri mengutamakan kepentingan rakyat secara menyeluruh dalam setiap pelaksanaan program dan penyampaian perkhidmatan.

“Program WRUR ini adalah satu platform penting yang mana kita tidak pernah bertanya siapa mereka, apa pegangan politiknya atau dari mana latar belakangnya.

“Tidak kiralah Melayu, Cina atau India, Islam, Buddha, Hindu ataupun Kristian, apabila mereka rakyat Melaka, mereka wajib disantuni dengan adil dan saksama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

757
Kongsi :
Previous post WRUR: LEBIH 60 PERATUS ADUAN RAKYAT TANGGA BATU SELESAI
Next post LEBIH RM944 JUTA PACU KEMAJUAN, SEJAHTERAKAN RAKYAT TANGGA BATU