
LEBIH RM944 JUTA PACU KEMAJUAN, SEJAHTERAKAN RAKYAT TANGGA BATU
PAYA RUMPUT 9 Ogos – Hampir RM944.5 juta telah diperuntukkan bagi pelbagai inisiatif pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Parlimen Tangga Batu, merangkumi sektor kebajikan, pembangunan, kesihatan, pendidikan serta perumahan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu, lebih RM7.61 juta disalurkan menerusi inisiatif Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Kebajikan Masyarakat di bawah Bantuan Am Negeri, yang memberi manfaat kepada lebih 2,500 warga Parlimen Tangga Batu.
Menurutnya, sebanyak RM811.9 juta pula diperuntukkan bagi pelaksanaan 22 projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada warga Parlimen Tangga Batu.
Bagi sektor kesihatan pula, sejumlah RM43.5 juta diluluskan bagi pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Cheng, sekali gus meningkatkan akses
perkhidmatan kesihatan kepada lebih 80,000 penduduk di kawasan sekitar.
“Alhamdulillah, usaha ini bukan sekadar janji tinggal janji, sebaliknya kita terjemahkan kepada tindakan yang boleh dilihat, dirasai dan dinikmati oleh rakyat.
“Buktinya, sepanjang tiga tahun saya menerajui pentadbiran negeri, lebih 200 pencapaian telah kita lakarkan dalam usaha memacu kemajuan Melaka dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan modal insan turut diteruskan menerusi penyediaan persekitaran pendidikan yang lebih selesa dan berkualiti buat anak-anak di Parlimen Tangga Batu.
Menurutnya, ia diterjemahkan menerusi pembinaan bangunan tambahan dan penyediaan kemudahan di empat buah sekolah dalam Parlimen Tangga Batu melibatkan peruntukan hampir RM74.1 juta.
“Begitu juga, pendidikan awal kanak-kanak turut diperkasa menerusi pembinaan dua Tabika KEMAS baharu di Taman Krubong Jaya dan Taman Bukit Rambai, melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan hampir RM4.7 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri memaklumkan, usaha menyediakan kediaman lebih selesa dan sempurna kepada rakyat turut diteruskan menerusi Program Melaka Rumahku dan Program Pembasmian Kemiskinan Bandar.
Jelasnya, seramai 93 keluarga dalam Parlimen Tangga Batu menerima manfaat menerusi kedua-dua program berkenaan, membabitkan 75 rumah dibaik pulih dan 18 rumah dibina baharu dengan keseluruhan kos RM2.67 juta.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


