ISU BANJIR TANGGA BATU DIBERI PERHATIAN, RM175 JUTA PROJEK MITIGASI DIGERAKKAN

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PAYA RUMPUT 9 Ogos – Usaha menangani banjir di Parlimen Tangga Batu terus diperkasa menerusi pelaksanaan projek penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur serta cadangan projek tebatan banjir bernilai keseluruhan hampir RM175 juta.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan isu banjir membelenggu penduduk dapat ditangani secara berperingkat.

Katanya, antara projek sedang digerakkan termasuklah menaik taraf sistem perparitan di Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Jaya bernilai hampir RM4.7 juta.

“Selain itu, permohonan projek naik taraf struktur crossing culvert di Jalan Tangga Batu-Tanjung Minyak dengan anggaran kos RM16 juta turut dikemukakan.

“Melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, Kerajaan Negeri telah mengangkat cadangan Projek Tebatan Banjir Sungai Ayer Salak bernilai hampir RM154 juta dan kini disenaraikan sebagai projek keutamaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, hasil penyelarasan sepanjang pelaksanaan WRUR bersama Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, beberapa tindakan segera turut digerakkan bagi menangani masalah berkaitan saliran dan infrastruktur di kawasan penduduk.

“Antaranya, kerja penyelenggaraan longkang di Jalan Utama Sungai Badau bernilai RM200,000, kerja naik taraf pembentung di Kampung Pengkalan Perigi bernilai RM50,000 serta kerja naik taraf longkang dan kerja berkaitan di Kampung Tanah Merah Utama berjumlah RM100,000.

“Ini menunjukkan apabila wakil rakyat, agensi kerajaan dan penduduk bergerak bersama, isu yang dihadapi rakyat dapat kita kenal pasti dan tindakan boleh diambil secara lebih tersusun,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf turut membawa berita baik kepada penduduk DUN Paya Rumput apabila dua buah balai raya baharu bakal dibina di Taman Tanjung Minyak Utama dan Taman Paya Emas.

“Saya juga ingin berkongsi berita baik, khususnya kepada penduduk DUN Paya Rumput. Insya-Allah, kawasan ini bakal menerima dua buah balai raya baharu.

“Sebenarnya, terlalu banyak lagi usaha dan inisiatif telah dilaksanakan sehingga tidak mungkin dapat saya senaraikan satu persatu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

644
Kongsi :
Previous post LEBIH RM944 JUTA PACU KEMAJUAN, SEJAHTERAKAN RAKYAT TANGGA BATU
Next post MENARA TAMING SARI TERUS UNGGUL, DINOBAT ‘OBSERVATION TOWER’ TERBAIK