
JELAJAH SAYANG RAKYAT BUKAN ‘LAKONAN BERMUSIM’
REMBIA 9 Ogos – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan ‘lakonan bermusim’ atau pecutan saat akhir menjelang pilihan raya, sebaliknya kesinambungan pendekatan turun padang yang telah digerakkan Kerajaan Negeri sejak dua tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan berkenaan menjadi manifestasi usaha dan komitmen pentadbiran beliau mendekati rakyat, mendengar sendiri permasalahan serta melihat keperluan mereka tanpa perantara.
Beliau menyedari mungkin terdapat segelintir pihak yang mungkin mengaitkan kekerapan pimpinan dan jentera kerajaan turun ke kampung serta taman perumahan dengan musim pilihan raya, namun persepsi itu tidak berlaku di bumi bersejarah memandangkan wakil rakyat di negeri ini sentiasa konsisten turun padang dan mendengar denyut nadi rakyat. n
“Saya tahu, apabila pimpinan dan jentera kerajaan semakin kerap masuk ke kampung, turun ke taman perumahan dan bertemu rakyat dari rumah ke rumah, pasti ada suara-suara yang mula berkata, ‘ini tidak lain tidak bukan, petanda dah dekat musim pilihan raya, barulah nak turun jumpa rakyat’.
“Izinkan saya perbetulkan persepsi ini. Hakikatnya, jelajah ini bukan lakonan bermusim, bukan juga pecutan saat akhir. Sebaliknya, inilah pendekatan yang telah kita gerakkan secara konsisten sejak dua tahun lalu menerusi WRUR sebagai jambatan yang merapatkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, di Kompleks Japerun Rembia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.
Ketua Menteri berkata, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang kini memasuki siri ke-13 adalah bermatlamat memastikan kerajaan sentiasa dekat dengan rakyat di seluruh negeri.
“Tujuannya untuk mendengar tanpa perantara, melihat tanpa bersangka-sangka dan bertindak tanpa bertangguh.
“Sama ada berkaitan tempat tinggal, kerosakan jalan, sistem saliran, kemudahan awam mahupun kebajikan sesebuah keluarga, mungkin ada yang melihatnya sebagai perkara kecil.
“Namun, bagi saya walau sekecil manapun masalah yang dihadapi rakyat, ia tetap menjadi tanggungjawab dan amanah yang mesti diberikan perhatian,” katanya.
Menurutnya, setiap daripada 1.05 juta rakyat Melaka berhak mendapat pembelaan serta perkhidmatan terbaik daripada Kerajaan Negeri tanpa mengira skala permasalahan yang dihadapi.
Dalam pada itu, Ab Rauf merakamkan penghargaan Fairul Nizam selaku Penyelaras DUN Rembia atas komitmen membantu membawa suara serta permasalahan rakyat di kawasan berkenaan kepada perhatian Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


