
TOK RAUF AKHIRI DILEMA 40 TAHUN PENDUDUK KAMPUNG BUKIT HANTU
REMBIA 9 Ogos – Selepas 40 tahun berdepan masalah banjir hingga menyebabkan penduduk Kampung Bukit Hantu terputus hubungan, dilema itu akhirnya berakhir dengan pembinaan jambatan baharu bernilai hampir RM200,000.
Ia selepas Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meluluskan peruntukan berjumlah hampir RM200,000 bagi membina sebuah jambatan baharu.
Ketua Menteri berkata, isu tersebut sampai ke pengetahuannya selepas suara penduduk membabitkan 70 buah rumah di kampung itu dibawa oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan.
“Apabila ia dibawa kepada saya, saya kata kita mesti bantu dan selesaikan masalah ini, di mana tanpa bertangguh kita meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 bagi pembinaan jambatan baharu ini.
“Apa yang saya nak kata di sini, saya pimpin Melaka bukan pimpin satu kaum. Semua kaum saya jaga. Kita beri sokongan dan sentiasa membantu mempermudahkan setiap perkara yang menyulitkan rakyat ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Lawatan dan Taklimat Pembinaan Jambatan Baharu Kampung Bukit Hantu bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Kampung Bukit Hantu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu, Ir. Adnan berkata, projek pembinaan jambatan berkenaan dilaksanakan selama tiga bulan bermula 15 April dan siap pada 15 Julai lalu.
Menurutnya, jambatan itu direka bentuk sebagai medium traffic bridge dengan mengambil kira aspek aras dan ketinggian bagi memastikan ia mampu menampung keadaan ketika paras air tinggi.
Pada masa sama, ujarnya, projek itu turut memasukkan komponen penstabilan tebing supaya tebing lebih kukuh dan dapat bertahan untuk tempoh yang lebih panjang.
“Dengan jambatan ini, risiko banjir kilat dapat dikurangkan. Sebelum ini aliran air terganggu, namun pelaksanaan projek ini membantu melancarkan aliran air dan pada masa sama memudahkan urusan harian penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


