
HARI LANDSKAP NEGARA 2026 TARIK 80,000 PENGUNJUNG
PAYA RUMPUT 9 Ogos – Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang berlangsung selamat empat hari sejak 6 Ogos lalu di Stadium Hang Jebat berjaya menarik kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung.
Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Mansor Mohamad berkata, sambutan bertemakan ‘Landskap Lestari Malaysia MADANI’ itu turut mendapat sambutan hebat menerusi pelbagai pertandingan membabitkan pelajar sekolah, komuniti dan institusi.
Menurutnya, sambutan berkenaan turut bertujuan membudayakan landskap dalam kalangan masyarakat, selain menjadi platform untuk membantu penggiat industri dan peniaga memperkenalkan serta menjual produk mereka.
“Selain membudayakan landskap dalam komuniti, kita juga mahu menggalakkan peniaga terutama yang terlibat dalam industri landskap memperkenalkan dan menjual produk mereka supaya mendapat pulangan ekonomi yang ketara.
“Alhamdulillah, kita mendapat maklum balas yang baik daripada peniaga bahawa sambutan daripada pembeli juga sangat menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah dan Anugerah Sambutan Hari Landskap Negara Tahun 2026 yang disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Dr. M. Noor Azman Taib; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Mansor berkata, walaupun sambutan Hari Landskap Negara hanya berlangsung selama empat hari, persiapannya telah dimulakan sejak lapan bulan lalu.
Jelas beliau, ia termasuklah mengenal pasti lokasi serta mengadakan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri terlibat bagi memastikan setiap sambutan mencapai objektif yang ditetapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


