MELAKA SAYANG RAKYAT: 220 RUMAH UZUR DIBINA, DIBAIK PULIH

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

REMBIA 9 Ogos – Sebanyak 220 rumah rakyat di seluruh Melaka telah dibantu menerusi inisiatif Kerajaan Negeri dengan 110 daripadanya dibina baharu, manakala 110 lagi dibaik pulih.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat yang berdepan masalah kediaman tidak dibiarkan tanpa pembelaan.

Menurutnya, atas faktor itu, pentadbiran beliau mengadakan siri turun padang dan jelajah ke seluruh negeri bagi membolehkan segala masalah rakyat yang sebelum ini tidak sampai ke meja pentadbiran beliau dapat disantuni dan diselesaikan.

“Sebagai pemimpin negeri, tidak kira hujan, ribut atau petir, saya tetap datang untuk membantu mereka yang memerlukan kerana inilah amanah dan lambang keprihatinan pentadbiran yang mahu kita bawakan.

“Kita tengok mana rumah yang rosak, kita betulkan dan mana rumah yang uzur, kita bina baharu. Atas sebab itu setakat ini, sebanyak 220 buah rumah rakyat yang memerlukan telah kita bina baharu dan baik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Penyerahan Rumah Bina Baharu di bawah Program Melaka Rumahku dan Penyampaian Program Baik Pulih Rumah bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Kampung Kelemak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, usaha membantu rakyat menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat akan terus dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan serta kebajikan penduduk di setiap kawasan.

“Saya mahu gagasan Melaka Sayang Rakyat yang saya bawa ini sampai ke hati nurani penduduk kampung. Saya tidak mahu ada rakyat yang susah dan tidak terbela,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post GEMBIRA BAKAL DAPAT RUMAH BAHARU SAMPAI TAK BOLEH TIDUR
Next post HARI LANDSKAP NEGARA 2026 TARIK 80,000 PENGUNJUNG