
GEMBIRA BAKAL DAPAT RUMAH BAHARU SAMPAI TAK BOLEH TIDUR
GADEK 9 Ogos – Kerana terlalu gembira selepas dimaklumkan akan menerima rumah baharu pasangan warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) ini sukar untuk melelapkan mata.
Jasmail kaur, 66, berkata dia dan suami Siow Tiam Lai, 71, hanya percaya bahawa berita itu bukan sekadar cakap-cakap kosong selepas dilawati Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang memaklumkan sendiri kelulusan bina baharu kediaman bernilai RM70,000 menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM).
“Berasa macam mimpi, semalam saya tak boleh tidur, betul ke kami akan dapat rumah baharu. Selepas dimaklumkan sendiri oleh Ketua Menteri saya berasa amat gembira terima kasih kerana bantu kami.
“Selepas berkahwin saya tinggal bersama suami di rumah peninggalan ibunya, tetapi atas faktor usia kediaman itu semakin uzur, bumbung banyak yang bocor. Serangan anai-anai menjadikan keadaan lebih teruk apabila semakin banyak kayu reput.
“Sebagai alternatif pada 2011 kami berpindah ke bengkel yang digunakan untuk membaiki barangan elektrik yang terletak bersebelahan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu pasangan ini menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di kediaman mereka di Kampung Ganun bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, hari ini.
Katanya, mereka juga sudah dihubungi oleh pegawai LPM dan pembinaan kediaman baharu yang sudah diluluskan dijangka dimulakan selepas proses merobohkan rumah lama selesai.
“Kami berdua bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, jadi apabila rumah baharu sudah siap pastinya akan memberikan lebih keselesaan.
“Sekarang kami tinggal dalam sebuah bilik dalam bengkel, tetapi mujur saudara-mara suami tinggal berhampiran dan kerap datang membantu setiap kali kami memerlukan,” katanya.
Pasangan OKU ini berkahwin pada 2001 dan mereka membuka perniagaan membaiki barangan elektrik sebagai punca pendapatan.
Berkongsi kisahnya Jasmail berkata, cintanya terhadap suami mula berputik selepas mereka bersama-sama mengikuti kursus membaiki barangan elektrik di sebuah institusi kemahiran di Cheras, Kuala Lumpur.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

