WAKIL RAKYAT MELAKA TAK ‘RILEKS’ 

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

GADEK 9 Ogos – Atas semangat Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) semua jentera Kerajaan Negeri digerakkan dan turun padang untuk membantu meringankan beban rakyat dalam kesukaran di semua Dewan Undangan Negeri.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, beliau tidak terkecuali daripada melakukan perkara yang sama demi amanah 28,000 warga DUN Gadek yang digalas di bahunya.

“Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebenarnya ‘tak rileks’, bukan saya seorang sahaja tetapi kami semua sentiasa sibuk bekerja demi kesejahteraan rakyat, jadi kalau ada pihak mendakwa kita hanya turun padang pada waktu tertentu seperti menjelang pilihan raya sahaja itu tidak benar.

“Kalau mahu bukti datang melawat ke Melaka ini atau boleh lihat bagaimana kita bekerja menerusi perkongsian di media sosial seperti Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem atau Facebook saya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Ramah MeSRa Ketua Menteri Bersama Masyarakat sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Masjid As-Syakirin, Kampung Gadek, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Yang turut hadir Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil; Timbalan Exco Pendidikan , Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas,  Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan serta pemimpin-pemimpin masyarakat DUN Gadek.

Katanya, selain menyantuni rakyat menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat penganjuran Sukan DUN juga menjadi medan mengeratkan hubungan rakyat dan pemimpin.

“Empat tahun lalu kita mulakan dengan cuma tiga jenis sukan sekarang berkembang kepada sembilan, penganjuran ini menjadi gelanggang memperkasakan belia dan pada masa yang sama mencungkil bintang baharu untuk mewakili Melaka.

“Tidak cukup dengan itu Melaka juga anjurkan Sukan Badan Beruniform dan Sukan Dua Jiwa Satu Hati yang menyatukan orang awam dengan anggota badan beruniform seperti tentera dan polis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post RUMAH PMR GANTI PONDOK ZINK NURSAJIDAH
Next post GEMBIRA BAKAL DAPAT RUMAH BAHARU SAMPAI TAK BOLEH TIDUR