RUMAH PMR GANTI PONDOK ZINK NURSAJIDAH

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER MOLEK 9 Ogos – Ujian dilalui Nursajidah Md Nor, 41, dan anak lelaki berusia enam tahun yang berteduh dalam pondok zink di Pengkalan Minyak, sejak dua tahun lalu mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ibu tunggal itu menerima berita gembira berhubung kelulusan bantuan Program Melaka Rumahku (PMR-Bina Baharu) menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bernilai RM70,000 disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, pada Selasa.

IMG 20260805 WA0003
NURSAJIDAH (duduk, kanan) bersama dua lagi penerima bantuan baik pulih kediaman bergambar bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan kenamaan. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Berkongsi kisahnya wanita cekal ini berkata, pondok zink berkenaan dibina dua tahun lalu menggunakan wang simpanan peninggalan arwah suaminya dan sumbangan orang ramai.

“Bumbung dan dinding menggunakan zink, bahagian dalam pula menggunakan papan lapis nipis, manakala lantai papan lapis tebal. Tidak terlalu besar, tak pula sempit, selesa untuk saya dan anak, tetapi kini semakin diancam anai-anai menyebabkan lantai berlubang.

“Syukur alhamdulillah kepada Ketua Menteri, Kerajaan Negeri dan LPM atas keprihatinan dan kesudian menyediakan tempat berteduh lebih selesa bagi kami dua beranak.

“Saya terus bersetuju selepas menerima tawaran ini, wakil LPM juga sudah datang melawat pondok saya dan struktur itu akan dirobohkan bagi membina kediaman baharu dijangka dimulakan tidak lama lagi ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG 20260805 WA0001
PONDOK zink menjadi tempat Nursajidah dan anaknya berteduh sejak dua tahun lalu. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Katanya, dia ketika ini menyara anak menggunakan hasil upah perkhidmatan ubah suai pakaian atau ‘alteration’ dengan pendapatan sekitar RM400 ke RM600 setiap bulan.

Namun dia tidak boleh menerima terlalu banyak tempahan berikutan mengalami patah tangan kanan akibat terlibat kemalangan motosikal menyebabkan pergerakan anggota badan itu agak terbatas.

“Doktor pasang besi akibat kecederaan pada tangan jadi saya tidak boleh terlalu lasak, namun alhamdulillah rezeki kami sentiasa ada. Saya juga pernah menerima bantuan mesin jahit daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jadi boleh digunakan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

524
Kongsi :
Previous post RAKYAT SAMBUT BAIK WRUR, PUJI KEMAJUAN MELAKA
Next post WAKIL RAKYAT MELAKA TAK ‘RILEKS’