RAKYAT SAMBUT BAIK WRUR, PUJI KEMAJUAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PAYA RUMPUT 9 Ogos – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bukan sahaja menjadi wadah mendekatkan kepimpinan negeri dengan masyarakat, malah menghidupkan suasana setempat menerusi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan.

Bagi Saleh Abdul Rahman, 60, dari Krubong Jaya, inisiatif merakyatkan pentadbiran negeri itu memberi peluang kepada masyarakat untuk menikmati pelbagai aktiviti dianjurkan selain melihat perkembangan pembangunan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, pelaksanaan program seumpama itu wajar diteruskan secara berkala kerana ia memberi manfaat langsung kepada rakyat, selain menjadikan suasana di sesebuah kawasan itu lebih meriah.

“Dengan adanya Program WRUR kita dapat lihat pembangunan di setiap DUN termasuk projek-projek kemajuan serta naik taraf infrastruktur yang telah dilaksanakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, Fuzaimah Mohd Sahir, 51, menyifatkan WRUR sebagai program yang berjaya menarik kehadiran pengunjung termasuk dari luar Melaka.

Katanya, kunjungan pertama kali ke program berkenaan memberikan pengalaman positif apabila melihat suasana yang meriah serta sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Saya lihat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh seorang pemimpin yang ceria dan mudah untuk berkomunikasi dengan rakyat.

“Atas usaha beliau, sektor pelancongan Melaka juga semakin rancak. Setiap hujung minggu saya lihat keadaan sentiasa sesak dengan orang ramai,” katanya.

Mohammad Asrul Afizan Noji, 32, yang berasal dari Kelantan pula berkata, dia memilih untuk membina kehidupan di Melaka kerana peluang pekerjaan ditawarkan sangat luas.

Katanya, selepas tiga tahun menetap di negeri ini, dia semakin selesa dengan kehidupan di Melaka sehingga mendirikan rumah tangga dengan rakyat negeri ini.

“Saya pilih Melaka kerana peluang pekerjaan sangat banyak dan negeri ini sangat sesuai dengan jiwa saya. Suasananya tenang dan kehidupan di sini juga ada suasana kampung yang saya suka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

838
Kongsi :
Previous post TOK RAUF SELESA DUDUK SEMEJA, DENGAR 1,001 MASALAH RAKYAT
Next post RUMAH PMR GANTI PONDOK ZINK NURSAJIDAH