BUKAN CURI, SALAH FAHAM PUNCA POKOK MBJB ‘DIBAWA PULANG’

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PAYA RUMPUT 9 Ogos – Isu pokok hiasan milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang didakwa dibawa pulang pengunjung ketika penganjuran Hari Landskap Negara (HLN) dipercayai berpunca daripada salah faham dan bukannya perbuatan disengajakan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pihaknya percaya pengunjung tidak berniat mengambil hak milik MBJB berikutan kedudukan pokok berkenaan yang berhampiran dengan kawasan tanaman percuma kepada pengunjung.

“Istilah curi itu saya rasa mungkin satu salah faham kerana saya difahamkan kawasan laman pameran pihak MBJB terletak berdekatan dengan tempat pokok diberikan secara percuma kepada pengunjung.

“Jadi, mereka mungkin menyangka tanaman berkenaan turut diberikan secara percuma dan boleh dibawa pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Majlis Santuni Petugas Pembersihan Sempena Sambutan Hari Pekerja Pembersihan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Rais berkata, Kerajaan Negeri selaku tuan rumah bersedia membantu menyelesaikan perkara berkenaan sekiranya terdapat sebarang tuntutan daripada pihak MBJB.

“Tadi saya sempat bertemu dengan rakan-rakan daripada MBJB dan saya katakan sekiranya ada apa-apa, boleh tuntut dengan pihak kita dan kita bersedia membantu.

“Kita sebagai tuan rumah juga mengambil tanggungjawab ini dan sekiranya ada tuntutan atau perkara yang perlu diselesaikan, boleh berhubung terus dengan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atau dengan saya sendiri,” katanya.

Menurutnya, perkara berkenaan wajar diselesaikan secara baik bagi memastikan hubungan antara kedua-dua pihak terus harmoni selepas isu tersebut mendapat perhatian.

“Saya harap kita dapat harmonikan keadaan ini dan faham bahawa perkara seperti ini kadang-kadang boleh berlaku.

“Saya yakin tidak ada rakyat Negeri Melaka yang ingin mengambil hak mana-mana pihak. Cuma perkara seperti ini berlaku dan kita perlu mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya dengan baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

574
Kongsi :
Previous post JELAJAH SAYANG RAKYAT BUKAN ‘LAKONAN BERMUSIM’
Next post 13 SIRI TURUN PADANG, SETIAP PERSINGGAHAN ADA TINDAKAN