13 SIRI TURUN PADANG, SETIAP PERSINGGAHAN ADA TINDAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

REMBIA 9 Ogos – Setiap persinggahan dalam 13 siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bukan sekadar kunjungan turun padang, sebaliknya diterjemahkan dengan tindakan dan manfaat secara langsung kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang 13 siri jelajah berkenaan, beliau menyaksikan sendiri pelbagai sisi kehidupan rakyat dengan setiap lokasi mempunyai keperluan serta cabaran berbeza.

“Sepanjang 13 siri jelajah ini, saya telah menyaksikan sendiri pelbagai sisi kehidupan rakyat. Lokasinya berbeza, keperluannya juga berbeza, malah cabarannya juga berbeza.

“Namun, harapan yang disandarkan kepada kerajaan tetap sama, iaitu supaya suara mereka didengari, keperluan mereka difahami dan permasalahan mereka disusuli dengan kesungguhan menyelesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, di Kompleks Japerun Rembia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, setiap pertemuan dengan rakyat sepanjang siri jelajah itu menguatkan lagi tekadnya untuk terus turun padang bagi memastikan setiap masalah yang dikenal pasti tidak berakhir sekadar aduan.

“Daripada setiap pertemuan inilah, tekad saya semakin kuat untuk terus turun padang dan memastikan setiap persinggahan membawa tindakan, manakala setiap tindakan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post BUKAN CURI, SALAH FAHAM PUNCA POKOK MBJB ‘DIBAWA PULANG’
Next post DARI TAMAN HINGGA KE KAMPUNG, REMBIA DILIMPAHI KASIH SAYANG TOK RAUF