DARI TAMAN HINGGA KE KAMPUNG, REMBIA DILIMPAHI KASIH SAYANG TOK RAUF

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

REMBIA 9 Ogos – Dari taman perumahan hingga ke kampung-kampung, pelbagai lapisan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menerima manfaat menerusi bantuan, projek dan inisiatif Kerajaan Negeri sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lebih RM376,000 manfaat, projek pembangunan dan peruntukan disalurkan kepada rakyat DUN Rembia, sekali gus membuktikan setiap permasalahan yang dibawa tidak hanya berakhir sebagai catatan di atas kertas.

Jelas beliau, manfaat yang disampaikan itu meliputi keperluan pelbagai golongan termasuk usahawan, penuntut institusi pengajian tinggi, warga yang memerlukan bantuan kesihatan, institusi pendidikan, rumah ibadat serta anggota keselamatan.

“Antara bantuan yang disampaikan termasuk sumbangan RM20,000 kepada 20 usahawan DUN Rembia serta 30 unit komputer riba bernilai RM30,000 kepada penuntut institusi pengajian tinggi.

“Pada masa sama, kita turut menyediakan pelbagai alat bantuan kesihatan bernilai RM30,000 kepada warga yang memerlukan selain peruntukan RM10,000 bagi kerja baik pulih Surau At-Taqwa.

“Selain itu, kita menyerahkan enam unit Smart TV bernilai RM12,000 kepada Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam di DUN Rembia, selain RM10,000 bagi pemasangan pendingin hawa di Balai Polis Trafik Alor Gajah serta pembinaan tandas baharu di Balai Polis Rembia demi keselesaan anggota keselamatan dan orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, di Kompleks Japerun Rembia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, pendekatan menyantuni rakyat turut diteruskan menerusi Program Ziarah Kasih di Taman Seri Pengkalan yang menyaksikan 10 keluarga menerima bantuan wang tunai berjumlah RM3,400.

Beliau turut menziarahi waris mendiang R Ravisalven di Jalan Keretapi Lama, Kampung Pengkalan serta menyampaikan sumbangan Khairat Kematian Bukan Islam.

“Di Kampung Kelemak pula, saya menyampaikan bantuan rumah baharu menerusi Program Melaka Rumahku bernilai RM70,000 kepada Sawiyah Husin, selain sebuah kerusi roda bagi memudahkan urusan hariannya,” katanya.

Siri jelajah itu juga turut membawa sinar baharu kepada penduduk Kampung Bukit Hantu menerusi pembinaan jambatan baharu bernilai RM191,000 yang telah siap dan mengakhiri dilema penduduk kampung yang sering terputus hubungan setiap kali berlaku banjir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post 13 SIRI TURUN PADANG, SETIAP PERSINGGAHAN ADA TINDAKAN
Next post 1,500 KAMPIT BERAS PERCUMA, AYAM RM5 TANDA KASIH TOK RAUF BUAT RAKYAT REMBIA