
1,500 KAMPIT BERAS PERCUMA, AYAM RM5 TANDA KASIH TOK RAUF BUAT RAKYAT REMBIA
REMBIA 9 Ogos – Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia menerima tanda kasih daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang mengagihkan sebanyak 1,500 kampit beras secara percuma.
Bukan itu sahaja, malah, penduduk juga dapat membeli ayam segar pada harga hanya RM5 seekor.
Bantuan berkenaan disampaikan bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rembia yang memberi peluang kepada masyarakat setempat menikmati manfaat secara langsung menerusi pelbagai pengisian dan inisiatif Kerajaan Negeri.
Pengagihan beras percuma dan jualan ayam pada harga istimewa itu turut memberi sedikit kelegaan kepada rakyat khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup pada masa kini.

Inisiatif itu juga selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat yang mahu memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang disediakan Kerajaan Negeri.
Terdahulu, menerusi jelajah siri ke-13 itu, Ketua Menteri diiringi Penyelaras DUN Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan dan kepimpinan negeri telah menjelajah ke lima lokasi di sekitar DUN Rembia.
Antara pengisian utama persinggahan itu adalah menyampaikan bantuan kebajikan kepada rakyat memerlukan, selain turut melihat sendiri keperluan rakyat di setiap DUN.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


