
40 TAHUN KAMI TUNGGU, AKHIRNYA JAMBATAN BAHARU SIAP
REMBIA 10 Ogos – Penantian kira-kira 40 tahun penduduk Kampung Bukit Hantu untuk memiliki infrastruktur perhubungan keluar dan masuk ke kampung kini berakhir apabila sebuah jambatan baharu siap dibina bulan lalu.
Jambatan itu menjadi kemudahan penting yang telah dinanti-nantikan sejak sekian lama memandangkan penduduk di kawasan itu kerap terputus hubungan
setiap kali hujan lebat dan banjir melanda.
Penduduk, Tony Wong Swee Hong, 66, amat bersyukur dan berterima kasih apabila masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama akhirnya dapat diselesaikan.
Dia yang sudah menetap di Kampung Bukit Hantu selama kira-kira 60 tahun memaklumkan, sebelum ini penduduk hanya bergantung kepada jambatan lama yang rendah yang sering dinaiki air dan menyebabkan satu-satunya laluan keluar masuk kampung terputus apabila hujan lebat berlaku.
“Bagi kami, jambatan ini memang sangat penting. Sebelum ini apabila hujan lebat, kami tidak dapat keluar kerana banjir bukan datang sekejap dan terus surut. Kadang-kadang mengambil masa berjam-jam dan mengganggu urusan harian.
“Sekarang kami sangat gembira kerana akhirnya jambatan baharu ini siap. Kami sudah melalui banyak kesukaran sebelum ini, tetapi akhirnya ada pihak yang membantu dan masalah ini dapat diselesaikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Tony, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Datuk Fairul Nizam Roslan menjadi antara watak penting yang banyak membantu sehinggalah pembinaan jambatan baharu itu direalisasikan.
“Malah, kami penduduk juga berbangga kerana inilah pertama kali Ketua Menteri datang ke kampung ini dan melihat sendiri kemudahan yang telah disiapkan untuk membantu kami yang rata-ratanya merupakan pekebun kecil dan penternak,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Kampung Bukit Hantu, Jun Lye Chai Yun, 51, berkata, sebelum ini, antara kebimbangan terbesar penduduk adalah sekiranya berlaku kes kecemasan memandangkan rata-rata penduduk di kawasan itu adalah warga emas.
“Kalau banjir berlaku dan berlarutan selama enam hingga lapan jam, kami tidak boleh keluar. Kalau ada orang sakit, ambulans pun tidak boleh masuk.
“Tapi, sekarang kami sudah tidak perlu risau seperti sebelum ini. Mewakili penduduk, saya amat berterima kasih kepada semua pemimpin yang membantu meleraikan masalah yang membelenggu selama ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri bersama kepimpinan negeri mengadakan lawatan dan mendengar taklimat pembinaan jambatan berkenaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rembia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


