REMBIA BERI SOKONGAN LUAR BIASA BUAT KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

REMBIA 10 Ogos – Kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menerima sokongan luar biasa daripada segenap lapisan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia apabila ribuan masyarakat berhimpun bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

Sambutan itu bukan sahaja melibatkan warga emas dan golongan dewasa, malah turut diterjemahkan menerusi penyertaan anak muda dalam konvoi yang menghimpunkan kira-kira 200 motosikal.

Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, jumlah kehadiran yang diterima pada jelajah berkenaan adalah di luar jangkaan, malah beliau sendiri terkejut melihat sambutan hebat di setiap lokasi persinggahan.

“Bagi saya jumlah kehadiran luar biasa ini benar-benar menunjukkan tanda sokongan rakyat kepada kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri pada hari ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rembia, di Kompleks Japerun Rembia, di sini, pada Ahad.

Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, sambutan itu menggambarkan pendekatan turun padang yang dibawa Ketua Menteri menerusi pelbagai inisiatif mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana rakyat dapat bertemu pemimpin secara langsung.

Jelasnya, bagi DUN Rembia sendiri, impak paling ketara hasil pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ialah keupayaan Kerajaan Negeri mengurangkan birokrasi dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Menurutnya, antara contoh kejayaan pendekatan itu ialah penyelesaian masalah penduduk Kampung Bukit Hantu yang berdepan isu banjir dan terputus hubungan apabila jambatan menghubungkan kampung itu ditenggelami air dan masalah itu berlarutan selama kira-kira 40 tahun.

“Masalah ini telah berlarutan selama 40 tahun dan kita bawa perkara ini untuk perhatian Ketua Menteri. Alhamdulillah, jambatan baharu bernilai hampir RM200,000 kini telah siap selepas mendapat kelulusan peruntukan daripada Ketua Menteri,” katanya.

Fairul Nizam yang mesra disapa Along berkata, aspek perumahan rakyat turut menjadi antara manfaat utama hasil pendekatan turun padang apabila 24 penerima menerima bantuan bina baharu dan baik pulih rumah di DUN Rembia pada tahun ini.

“Ini menjadi bukti nyata bahawa pentadbiran pada hari ini benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan mahu memastikan tiada yang tercicir daripada menerima perhatian kerajaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

538
Kongsi :
Previous post KERINGAT ‘ADIWIRA’ KEBERSIHAN MELAKA DIHARGAI