
‘MAK CIK TAKKAN LUPA BUDI TOK RAUF, YB ALONG’
REMBIA 11 Ogos – ‘Rumah syurga dunia’ menjadi gambaran rasa syukur Sawiyah Husin, 65, apabila menerima sebuah rumah baharu menerusi Program Melaka Rumahku yang disifatkannya sebagai nikmat tidak ternilai pada usia senja.
Sawiyah berkata, dia tidak menyangka permohonannya untuk mendapatkan rumah baharu diluluskan selepas kediaman yang didiaminya selama kira-kira setengah abad lalu sudah terlalu uzur dan boleh runtuh pada bila-bila masa.
Menurutnya, kelulusan bantuan berkenaan turut membuatkan dirinya sebak kerana dibantu pelbagai pihak khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan.
“Mak cik bersyukur sangat apabila dapat rumah baharu ini. Memang saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri, YB Along (Fairul Nizam), penghulu, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan semua yang banyak membantu.
“Tidak lupa juga kepada pemilik tanah yang sangat baik dan membenarkan mak cik untuk tinggal di sini. Mak cik takkan lupa budi mereka dan mendoakan agar insan-insan baik ini Allah SWT permudahkan segala urusan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, Sawiyah disantuni Ketua Menteri dan kepimpinan negeri bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rembia di Kampung Kelemak, di sini, pada Ahad.
Pada majlis itu, Sawiyah menerima cek cura bernilai RM70,000 bagi pembinaan rumah baharu menerusi Program Melaka Rumahku di bawah LPM, di mana rumahnya kini sudah 70 peratus siap.
Sawiyah yang tinggal bersama anak lelakinya berkata, rumah baharu itu bakal memberikan keselesaan dan ketenangan untuk meneruskan kehidupan selepas kematian suaminya.
“Rumah lama sudah terlalu uzur, hendak dibaiki pun tidak boleh kerana sudah dimakan anai-anai. Jadi, mak cik mohon dan tak sangka ia diluluskan secepat ini.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang membantu mak cik. Selagi hayat masih ada, mak cik akan terus mendoakan mereka semua,” katanya dalam nada sebak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


