
SALHAH WANITA PERTAMA DILANTIK SUK MELAKA
AYER KEROH 10 Ogos – Datuk Wira Salhah Salleh mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka.
Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Wira Azhar Arshad yang melangkah ke alam persaraan bermula 11 Ogos.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelantikan itu membuka lembaran baharu pentadbiran negeri selain diyakini dapat memperkukuh tadbir urus dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Berakhirnya satu perjalanan bukan bererti terhentinya perjuangan. Bagi membuka lembaran baharu pentadbiran, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Wira Salhah Salleh atas pelantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang baharu.
“Pelantikan ini turut mencatat sejarah apabila beliau adalah wanita pertama yang menerajui jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan Serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Md Azhan Samat yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri Melaka yang baharu.
Katanya, amanah itu cukup besar kerana setiap perancangan pembangunan negeri menuntut pengurusan kewangan yang berhemat, strategik dan berpandangan jauh.
“Saya yakin, kedua-dua pemimpin kanan pentadbiran ini dapat bergerak dalam satu saf bersama seluruh penjawat awam, memperkukuh tadbir urus, mempercepat penyampaian serta memastikan setiap sumber negeri diuruskan dengan penuh amanah demi kepentingan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


