
MELAKA SEDIA RM500,000 BANTU BELIA JADI USAHAWAN PELANCONGAN
AYER KEROH 10 Ogos – Kerajaan Negeri mengumumkan insentif Dana Pelancongan Belia berjumlah RM500,000 bagi menggalakkan anak muda berusia 20 hingga 35 tahun menceburi bidang keusahawanan pelancongan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi inisiatif itu, seramai 200 belia berpeluang menerima bantuan sehingga RM10,000 seorang untuk memulakan perniagaan berkaitan pelancongan.
Menurutnya, dana berkenaan terbuka kepada belia yang berminat meneroka cabang perniagaan dalam bidang pelancongan, warisan, seni dan budaya.
“Insentif Dana Pelancongan Belia ini kita sediakan bagi menggalakkan belia-belia yang berminat dalam bidang pelancongan memulakan langkah sebagai pemangkin melahirkan lebih ramai usahawan muda.
“Peruntukan ini akan memberi manfaat kepada 200 belia berusia 20 hingga 35 tahun, dengan insentif sehingga RM10,000, termasuklah dalam cabang perniagaan jualan cenderamata atau menjadi pemandu pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut bersedia menyediakan bimbingan dan latihan kepada penerima bagi membantu mereka membangunkan perniagaan dalam sektor berkenaan.
“Apa yang pasti, kita boleh asuh dan latih kerana Melaka asasnya adalah negeri pelancongan. Mereka yang berminat boleh membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) atau Bahagian Promosi Pelancongan (BPP),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


