
PRN MELAKA: ‘KALI INI NIKAH BIAR BERKADI, ADA SAKSI’
AYER KEROH 10 Ogos – Barisan Nasional (BN) Melaka terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti politik yang berhasrat membentuk kesepakatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, namun segala rundingan perlu dibuat secara bersemuka dan rasmi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ruang perundingan sentiasa terbuka sekiranya wujud hasrat untuk membentuk kerjasama politik, namun sebarang keputusan tidak boleh dibuat secara terburu-buru.
“Kalau ada hasrat kebersamaan, saya buatkan satu ruang yang terbuka untuk berunding. Tapi, tidak semestinya rundingan itu dimuktamadkan menjadi rakan kongsi yang baik.
“Kita akan melihat dan meneliti berdasarkan banyak faktor untuk menjadikan seseorang itu sebagai rakan kongsi kita,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Ab Rauf berkata, pihaknya melihat potensi kerjasama menerusi konsep BN Plus mampu menghasilkan kekuatan politik yang baik untuk Negeri Melaka, namun sebarang bentuk kerjasama masih perlu melalui proses rundingan dan persetujuan bersama.
Bagaimanapun tegasnya, BN Melaka komited untuk mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN Melaka lalu, manakala baki tujuh kerusi lain masih terbuka untuk dibincangkan dalam sebarang rundingan.
“21 kerusi ini boleh menggambarkan 1,001 kemungkinan. Tujuh kerusi lagi ini bolehlah dirunding, dan mungkin akan ada pertukaran kerusi atas sifat perundingan secara bersama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang rumusan mengenai kerjasama politik tidak wajar dibuat selagi tiada keputusan rasmi dicapai melalui rundingan.
“Saya selalu tegaskan bahawa kita jangan buat rumusan dalam apa juga perbincangan yang tidak ada rasminya. Kali ini saya mahu kalau kita ‘bernikah biar berkadi, biar bersaksi,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


