TERIMA KASIH ATAS KEPERCAYAAN KEPADA SAYA – AZHAR ARSHAD

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 10 Ogos – Berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka selama dua tahun dan dua bulan menjadi antara pengalaman amat bermakna buat Datuk Wira Azhar Arshad yang akan bersara wajib daripada perkhidmatan awam bermula esok.

Berkongsi kisahnya, Azhar berkata selain bersemangat kerana berkhidmat di negeri sendiri tugasnya dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat menjadi lancar kerana beliau disokong oleh rakan sekerja dan pegawai yang komited serta sentiasa bersedia memikul amanah bersama.

“Terima kasih tidak terhingga juga saya ucapkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh atas kepercayaan, bimbingan, sokongan dan keyakinan yang tidak pernah berbelah bahagi sepanjang tempoh saya menggalas amanah sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kepercayaan diberikan bukan sekadar satu penghormatan kepada saya malah menjadi pembakar semangat untuk terus berbakti kepada negeri yang amat saya cintai ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Azhar berkata, Melaka mempunyai pasukan perkhidmatan awam yang bersatu padu, cekap dan profesional dalam memastikan setiap agenda serta aspirasi negeri dapat direalisasikan.

Katanya, kepelbagaian karakter, ragam dan kerenah dalam kalangan penjawat awam bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan dalam memastikan pentadbiran negeri terus bergerak sebagai satu pasukan.

“Walaupun masing-masing mempunyai ragam, karakter dan kerenah yang berbeza tetapi semua warna ini memberikan keindahan dalam memastikan agenda negeri terlaksana,” katanya.

Untuk rekod, Azhar dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka ke-30 berkuat kuasa 24 Jun 2024 dan terdahulu beliau berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan) dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran awam, termasuk menerajui MBSP sebelum diberi amanah mengetuai jentera perkhidmatan awam Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

341
Kongsi :
Previous post ANAK MUDA ‘SUARAKAN’ MELAKA SAYANG RAKYAT DI TIKTOK
Next post KIBARKAN JALUR GEMILANG, WARNAI SELURUH MELAKA – KM