ANAK MUDA ‘SUARAKAN’ MELAKA SAYANG RAKYAT DI TIKTOK

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 10 Ogos – Seramai 145 pelajar Tingkatan Enam di seluruh Melaka menyertai Pertandingan TikTok Tingkatan Enam bertemakan ‘Melaka Sayang Rakyat’, sekali gus membuktikan kreativiti anak muda dalam memanfaatkan platform digital.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pertandingan anjuran Pejabat Ketua Menteri itu bukan sekadar medan menghasilkan video kreatif, bahkan menjadi platform untuk generasi muda berkarya serta menyampaikan pandangan dan aspirasi mereka.

“Hari ini, dunia digital bukan lagi sekadar ruang hiburan, tetapi telah menjadi medan anak muda berkongsi idea, membina pengaruh dan menyampaikan pandangan.

“Kerajaan Negeri melalui pejabat saya sendiri telah memperkenalkan Pertandingan TikTok Tingkatan Enam dengan tema β€˜Melaka Sayang Rakyat’ sebagai platform untuk generasi muda berkarya, di samping membuka peluang kepada mereka menjadi suara dan wajah Melaka di ruang digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurutnya, penyertaan menggalakkan dari seluruh negeri itu membuktikan golongan muda bukan sekadar celik teknologi, malah mempunyai idea, kreativiti serta kecintaan terhadap negeri yang boleh diterjemahkan menerusi kandungan digital.

“Bagi saya, inisiatif ini bukan sekadar tentang video kreatif yang dihasilkan. Lebih besar daripada itu, ini adalah sebuah pentas strategik untuk mengangkat bakat generasi muda sebagai pencipta kandungan digital yang mampu mempromosikan identiti serta nilai-nilai Melaka Sayang Rakyat,” katanya.

Ketua Menteri berkata, platform berkenaan juga mampu melahirkan generasi pencipta kandungan yang dapat membantu memperkenalkan Melaka secara lebih kreatif dan dekat dengan kelompok masyarakat khususnya pengguna media sosial.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post MELAKA REKOD 7.2 JUTA PELANCONG SETAKAT JUN, JANA EKONOMI RM7.27 BILION
Next post TERIMA KASIH ATAS KEPERCAYAAN KEPADA SAYA – AZHAR ARSHAD