
MELAKA REKOD 7.2 JUTA PELANCONG SETAKAT JUN, JANA EKONOMI RM7.27 BILION
AYER KEROH 10 Ogos – Melaka merekodkan lebih 7.2 juta pelancong sehingga Jun tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan pilihan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu dianggarkan menyumbang RM7.27 bilion kepada ekonomi negeri, sekali gus menjadikan sektor pelancongan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Melaka.
“Angka ini besar, tetapi di sebalik angka itu ada usaha ribuan penjawat awam, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemain industri yang memastikan Melaka terus bersih, selamat, menarik dan mesra kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Ab Rauf berkata, kejayaan sektor pelancongan negeri tidak hanya bergantung kepada tarikan yang dimiliki Melaka, tetapi turut disokong komitmen seluruh jentera pentadbiran dan pemain industri dalam memastikan pengalaman terbaik kepada pelancong.
“Jangan sesekali merasakan tugas saudara kecil atau tidak kelihatan. Mungkin nama saudara tidak disebut satu persatu, tetapi setiap kejayaan negeri ini mempunyai cap jari saudara di belakangnya.
“Terima kasih kerana terus menjadi tulang belakang yang menggerakkan Melaka,” katanya.
, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika sesi sidang media pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan peluncuran Bulan Kemerdekaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka.
Foto Afiq Mustaffa
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


