
KIBARKAN JALUR GEMILANG, WARNAI SELURUH MELAKA – KM
AYER KEROH 10 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyeru seluruh rakyat Melaka mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh pelosok negeri sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Beliau berkata, seruan itu perlu disambut rakyat, selain seluruh jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anak syarikat negeri sebagai lambang semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara.
“Menjelang detik penuh bersejarah ini, saya menyeru kepada seluruh jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan, anak syarikat negeri serta seluruh rakyat Melaka agar kibarkanlah Jalur Gemilang di bangunan kerajaan, di premis perniagaan, di institusi pendidikan, di kawasan kediaman dan di seluruh pelosok negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan serta Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Ab Rauf berkata, semangat patriotisme perlu terus dipupuk bagi membolehkan masyarakat menghayati nikmat kemajuan dan kesejahteraan yang dibina melalui pengorbanan, keberanian serta kesungguhan rakyat terdahulu.
Pada masa sama, ujar beliau, segala kemajuan yang dikecapi kini juga adalah hasil perancangan teliti, dasar yang jelas, pelaksanaan berkesan dan kepercayaan antara Kerajaan dengan rakyat.
“Marilah sama-sama kita menjiwai sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini sebagai gelanggang untuk memperkukuh tekad. Biarpun berbeza kaum, kita tetap satu rakyat; biarpun berbeza latar, kita tetap satu negara; dan di bawah Jalur Gemilang, kita berdiri teguh sebagai satu Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri turut menghadiahkan kemasukan percuma ke produk-produk pelancongan terpilih di Melaka kepada semua pengunjung dan pelancong pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.
Lebih istimewa ujar beliau, Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 juga akan diadakan di lokasi baharu yang lebih strategik iaitu Dataran Klebang, selain diserikan dengan Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) atau Karnival Kerjasama Awam-Tentera anjuran Kementerian Pertahanan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


