
GELAK TAWA EAN SEMBUNYI DERITA JANTUNG TERBALIK
AYER MOLEK 11 Ogos – Sekali pandang, Muhammad Ean Maleeq Mohd Faris, 3, sama seperti kanak-kanak lain yang lincah dan lasak bermain, namun di sebalik keceriaannya itu tersimpan perjuangan besar apabila dia dilahirkan dengan masalah jantung dan salur darah terbalik.
Lebih menyentuh hati, anak bongsu daripada empat beradik itu sudah melalui tiga pembedahan sejak bayi dan masih memerlukan rawatan susulan bagi membolehkannya membesar serta menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
Bapanya, Mohd Faris Mohd Zakir, 39, berkata masalah jantung Ean hanya diketahui selepas kelahirannya apabila doktor mengesan terdapat kelainan pada jantung anaknya itu.
Menurut juruteknik syarikat utiliti itu, dia bersama isteri, Nurul Nadia Asarozi, pada awalnya mengambil masa untuk menerima ujian berkenaan, namun mereka memilih untuk kekal tabah dan berusaha memastikan Ean mendapat rawatan terbaik.
“Memang sedih bila kita tahu anak kita dapat ujian besar. Tetapi sebagai ibu bapa, kita perlu kuat dan tabah untuk memastikannya terus sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Taman Tiang Dua Mutiara.
Mohd Faris berkata, Ean menjalani pembedahan pertama ketika berusia kira-kira empat bulan apabila stent dimasukkan melalui bahagian paha bagi membantu melancarkan aliran darah.
Ujarnya, anak bongsu itu kemudian menjalani pembedahan kedua ketika berusia lebih dua tahun sebelum pembedahan ketiga pada 15 Julai lalu bagi membesarkan salur darahnya.
“Pembedahan terbaru ini membabitkan prosedur ‘shunt’ bagi membantu membesarkan salur darahnya dan kos keseluruhan lebih RM40,000. Walaupun mendapat subsidi kerajaan dan bantuan daripada IJN Foundation, jumlah itu masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan kos rawatan,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan Mohd Faris terpaksa mengetepikan rasa malu untuk memohon bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, memandangkan dia dan keluarga pernah menetap di Duyong sebelum ini.
“YB Helmy kemudian memanjangkan perkara ini kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Datuk Rahmad Mariman yang juga Adun Ayer Molek serta Timbalan Pengerusi MAIM. Alhamdulillah, kami menerima bantuan am berjumlah RM5,000 bagi membiayai pembedahan Ean.
“Hanya ucapan jutaan terima kasih dapat kami berikan kepada YB Helmy, YB Rahmad dan MAIM kerana ada bersama kami ketika berdepan kesulitan untuk pembedahan Ean. Hanya Allah SWT dapat membalas budi semua,” katanya.

Bercerita mengenai keadaan terkini anaknya, Mohd Faris berkata, Ean kini semakin lincah dan lasak walaupun baru menjalani pembedahan pada bulan lalu.
Namun, katanya, keadaan Ean masih perlu dipantau secara berterusan berikutan paras oksigen yang tidak stabil sehingga menyebabkan tangan dan kakinya boleh bertukar kebiruan.
“Alhamdulillah, Ean memang seperti anak lelaki biasa yang lasak. Tetapi ada masanya apabila terlalu penat, tangan dan kakinya akan jadi biru kerana oksigen tidak sampai dengan baik.
“Pernah sekali keadaan itu berlaku ketika dia demam dan dia perlu dimasukkan ke hospital untuk pemantauan,” katanya.
Bapa kepada empat anak itu berkata, perjuangan Ean masih panjang apabila dijangka menjalani pembedahan besar seterusnya sekitar usia lima tahun bagi membetulkan salur darah yang bermasalah.
“Pembedahan ini lebih berisiko, namun sebagai ibu bapa hanya doa dapat kami titipkan agar semuanya dipermudahkan. Harapan kami cuma satu, mahu melihat Ean sihat dan membesar seperti anak-anak lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


