KES ADIK EAN BUKTI MAIM ADA SAAT DIPERLUKAN

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER MOLEK 11 Ogos – Ketika keluarga Muhammad Ean Mohd Faris, 3, buntu memikirkan kos pembedahan jantung anak mereka, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tampil membantu dalam tempoh singkat bagi meringankan beban yang ditanggung.

Ean yang dilahirkan dengan masalah jantung dan saluran darah terbalik memerlukan pembedahan ketiganya pada 15 Julai lalu, membabitkan kos keseluruhan lebih RM40,000.

Bantuan am RM5,000 daripada MAIM itu menjadi antara sinar buat keluarga berkenaan yang sebelum ini turut menerima subsidi kerajaan dan bantuan daripada IJN Foundation bagi menampung kos rawatan Ean.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kes Ean membuktikan MAIM sentiasa ada untuk membantu rakyat yang benar-benar memerlukan, termasuk apabila berdepan keperluan rawatan yang mendesak.

Menurutnya, keluarga Ean yang pernah menetap di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp beberapa hari sebelum pembedahan bagi memohon bantuan untuk mencukupkan kos rawatan.

“Saya dimaklumkan mengenai keadaan Ean beberapa hari sebelum pembedahan dan terus cuba membantu dengan memanjangkan perkara itu kepada MAIM serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek yang juga Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Rahmad Mariman.

“Walaupun dimaklumkan dalam tempoh singkat, MAIM bertindak pantas sehingga pra-kelulusan diperoleh bagi membolehkan wang pendahuluan disalurkan untuk membantu kos pembedahan,” katanya.

Beliau yang juga Adun Duyong berkata demikian ketika sesi ziarah susulan bersama Bahagian Agihan Zakat MAIM ke atas keluarga adik Muhammad Ean di Taman Tiang Dua Mutiara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Seksyen Bahagian Agihan Zakat MAIM, Nazril Hizam Yusoff dan Pegawai Agihan Zakat Melaka Tengah, Siti Nadira Ismail.

WhatsApp Image 2026 08 11 at 3.32.01 PM
MUHAMMAD Ean diuji dengan masalah jantung terbalik sejak lahir.

Mohd Noor Helmy berkata, kes berkenaan juga menjadi bukti nyata bahawa MAIM mempunyai budi bicara yang sangat tinggi dalam membantu mereka yang memerlukan dengan syarat perlulah mengikut prosedur dan disertakan dokumen lengkap.

Ia sekali gus menepis dakwaan dan tanggapan segelintir pihak kononnya sukar untuk mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan.

“Orang ramai perlu faham bahawa kita berurusan dengan duit zakat. Amanah itu harus dijaga, bukan sahaja soal dunia tetapi perkara yang akan dipersoalkan di akhirat.

“Jadi, tatakelola juga perlu dipelihara supaya bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy turut berharap lebih ramai masyarakat yang berkemampuan untuk menunaikan zakat kerana sumbangan berkenaan dapat membantu meringankan beban golongan asnaf, selain keluarga yang berdepan kesusahan, termasuk dalam aspek rawatan dan keperluan hidup.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

640
Kongsi :
Previous post GELAK TAWA EAN SEMBUNYI DERITA JANTUNG TERBALIK
Next post TIGA KELUARGA DI DUN GADEK TERIMA KEDIAMAN BAHARU