PERZIM BAWA GENERASI MUDA SELAMI SEJARAH KEMERDEKAAN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

TELOK MAS 13 Ogos – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) membawa kisah perjuangan tokoh kemerdekaan, sejarah negara serta permainan tradisional kepada pelajar sekolah menerusi pengisian sempena Bulan Kebangsaan 2026.

Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata usaha itu memberi peluang kepada pelajar mengenali sejarah perjuangan kemerdekaan negara serta menghayati warisan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Malaysia menerusi aktiviti disusun.

Katanya, pengisian berkenaan direalisasikan menerusi Program Taklimat Kemerdekaan, Demonstrasi Permainan Tradisional Konda-Kondi dan Pameran Kemerdekaan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu pada 5 Ogos lalu.

“Program ini bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, meningkatkan pengetahuan sejarah kemerdekaan negara serta memperkenalkan warisan budaya tradisional kepada para pelajar

“Taklimat disampaikan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai sejarah perjuangan kemerdekaan, tokoh-tokoh kemerdekaan serta kepentingan memupuk semangat cintakan negara.

“Terdapat juga demonstrasi permainan tradisional seperti konda-kondi bagi memberi peluang kepada pelajar mengenali dan mencuba sendiri permainan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat Malaysia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2026 08 12 at 11.14.53 AM
PERMAINAN tradisional konda-kondi turut diadakan pada Program Taklimat Kemerdekaan, Demonstrasi Permainan Tradisional Konda-Kondi dan Pameran Kemerdekaan di SMK Pernu.

Selain itu, katanya, pameran kemerdekaan memaparkan maklumat, gambar dan bahan berkaitan sejarah negara sebagai medium pembelajaran yang interaktif dan menarik.

“Secara keseluruhannya program ini berjaya meningkatkan kesedaran serta penghayatan pelajar terhadap nilai patriotisme, sejarah kemerdekaan dan kepentingan memelihara warisan budaya negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

505
Kongsi :
Previous post GELANGGANG BADMINTON SATUKAN WANITA
Next post DELEGASI AFRIKA-ASIA JATUH HATI DENGAN MELAKA